Terjemahan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan melawat Sarawak pada 28 November ini untuk melancarkan pakatan pembangkang di negeri itu bagi menghadapi pilihanraya negeri.

Menurut Ketua Perhubungan PKR Sarawak, Wan Zainal Abidin, dalam kunjungan dua harinya itu, Anwar dijangka turut melawat rumah panjang Iban di Sri Aman.

Katanya, Penasihat PKR itu juga akan berucap di hadapan masyarakat Cina dan Melayu di Kuching

Malaysiakini difahamkan Anwar sendiri meminta kunjungan ke rumah panjang Iban kerana mahu meninjau masalah yang dihadapi kaum pribumi itu terutama berkaitan hak tanah adat mereka yang kini diancam oleh kegiatan perladangan dan pembalakan.

Mengulas lanjut mengenai pakatan pembangkang itu, Wan Zainal berkata, ia hanya membabitkan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan PKR.

Menurutnya, DAP telah mengambil keputusan tidak menyertai pakatan tersebut dan tidak akan menghadiri perjumpaan pada 28 November itu.

Sementara itu, Ketua DAP Sarawak, Wong Ho Leng memberitahu malaysiakini, partinya tidak menyertai pakatan berkenaan kerana PKR mempunyai hubungan rapat dengan parti Islam, PAS.

"Bagaimanapun kami bersikap terbuka untuk berkerjasama dengan parti-parti pembangkang lain," ujarnya.

Parti baru

Malaysiakini juga difahamkan PAS turut dijemput menghadiri perjumpaan tersebut tetapi kemungkinan besar tidak akan menghadirinya.

Setiausaha Agung Snap, Edmund Stanley Jugol pula berkata, pemimpin Parti Reformasi Sarawak (Star), Dr Patau Rubis dijangka turut menghadiri majlis pelancaran tersebut.

Ahli jawatankuasa penaja parti Kongres Dayak Sarawak (MDC) yang sedang menunggu kelulusan pendaftarannya serta para penyokong mereka, juga dijangka hadir

Parti baru itu diketuai oleh ketua penajanya, Nicholas Bawing, yang juga merupakan Presiden Kesatuan Nasional Dayak Sarawak.

Difahamkan, calon-calon MDC akan bertanding di bawah tiket Snap jika pendaftaran mereka belum diluluskan ketika pilihanraya negeri diadakan.

Pakatan Snap-PKR dijangka bertanding 40 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan dan DAP meletakkan calon di 14 hingga 15 kerusi.

Seorang menteri kanan Sarawak, Dr James Masing yang merupakan Presiden Parti Rakyat Sarawak baru-baru ini menyatakan bahawa Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud belum membayangkan bila pilihanraya berkenaan akan diadakan.

Bagaimanapun, awal minggu ini, Timbalan Ketua Menteri, Dr George Chan berkata di Miri, bahawa pilihanraya negeri akan diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang./ Berita asal