Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar tak akan campur tangan kabinet, kata Wan Azizah
Diterbitkan:  Jul 1, 2018 10:20 AM
Dikemaskini: 2:39 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membidas dakwaan beliau menjadi boneka kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor media tempatan.

"Saya yang datang kerja awal, saya yang baling lewat malam. Beliau (Anwar) pergi ke Turki dan ke London.

"Jadi berilah saya pujian dan penghargaan sebab saya buat kerja banyak. Saya Timbalan Perdana Menteri, bukan dia," katanya dalam wawancara bersama wartawan kumpulan NSTP, terbit di BH Ahad hari ini.

Sebaliknya, Dr Wan Azizah berkata beliau menjadikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai rujukan berkaitan urus tadbir dan hal ehwal negara.

"Pada waktu sekarang, beliau (Anwar) tiada banyak ruang untuk berbincang kerana selalu di luar negara, malah Anwar sering mengatakan ini kabinet Tun (Dr Mahathir), jadi dia tak akan campur tangan.

Kedua-duanya doktor

"...kebanyakan masa di sini (pejabat), justeru lebih mudah pergi jumpa Dr Mahathir," kata Presiden PKR itu lagi.

Bekas ketua pembangkang parlimen juga menyebut faktor keserasian bekerja bersama perdana menteri kerana berkongsi kerjaya kedoktoran dalam perubatan.

"Kami berdua doktor, jadi seolah ada wave lenght (cara) yang sama dalam mengetengahkan pendapat, khususnya dalam keperluan menangani masalah, isu rasuah, memperkukuh ketelusan, amanah dan keberkesanan kerajaan.

"Sebenarnya kami berbincang dalam pelbagai perkara...," katanya.

Wan Azizah turut berkata beliau sentiasa berbincang bersama jemaah menteri dalam membuat keputusan.

"Alhamdulillah, saya banyak diberikan dorongan dan sokongan oleh Perdana Menteri dalam perkara yang saya tidak pasti.

"Saya telefon juga (Menteri Dalam Negeri) Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan teman lain dalam jemaah menteri untuk berbincang jika ingin buat keputusan. Yang penting, biarlah di tampuk kuasa sini, tata kelola mesti mendapat pandangan dan nasihat," katanya dipetik wawancara terbit di BH Ahad.

Dalam wawancara itu, Azizah juga menjawab soalan mengenai keterujaannya menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama.

"Usah dilupakan saya juga pernah menyandang jawatan ketua pembangkang wanita pertama.

Kuota wanita, merit, kelayakan

"Lain cabarannya apabila diberi amanah memikul tugas ini (TPM), namun secara amnya 'ok' saja kerana masa saya kerja di hospital pun, lelaki dan perempuan memikul tugas yang sama.

"Saya masih lagi belajar dan cuba sesuaikan diri dengan banyak tugas," katanya.

Mengulas pertanyaan mengenai kuota kepimpinan wanita, timbalan perdana menteri berkata kuota mestilah memenuhi kelayakan, merit dan pengalaman.

"...justeru kuota bukan untuk kita isikan tetapi mesti ada segi kelayakan, merit, pengalaman.

"Kalau boleh kita nak lebih (kuota wanita), contohnya Selangor sudah mencatat (perwakilan di peringkat kerajaan negeri) lebih 30 peratus..." katanya.

Lihat Komen
ADS