Terjemahan Mumtaz, seorang mak nyah, telah ditahan di sebuah hotel murah di Ipoh, Perak bulan lalu kerana didakwa terbabit dalam kegiatan pelacuran.

Mumtaz, yang telah menjalani pembedahan penukaran jantina, telah dibawa ke balai polis Ipoh untuk siasatan lanjut. Pada saat itu, bermula mimpi buruknya...

Dia diarah menanggalkan pakaiannya di depan tiga anggota polis. Walaupun dia meminta berbuat demikian di depan anggota polis wanita, tetapi permintaannya itu tidak dilayan.

Alasan yang diberikan ialah kerana klasifikasi jantina dalam kad pengenalan menyebut dia seorang 'lelaki'.

Mumtaz, yang menjalani pembedahan penukaran jantina di Thailand enam tahun lalu, telah menukar nama pada kad pengenalannya pada tahun 2002, tetapi tidak jantinanya.

'Saya rasa terhina'

Kerana bimbangkan keselamatannya, dia menuruti arahan tersebut dan apabila berbogel, dia dihujani pelbagai kata nista.

"Mereka mempermainkan saya dengan mengatakan yang 'barang saya cantik' dan 'besar (buah dada)'. Saya terasa begitu terhina," katanya dalam wawancara dengan malaysiakini baru-baru ini.

Dia kemudiannya diarahkan berpakaian semula dan menunggu dalam bilik siasatan. Di situ dia berdepan dengan satu lagi pengalaman getir apabila seorang pegawai polis menyoal mengenai bahagian sulitnya.

.

Dia dihujani pertanyaan seperti: "Boleh main ke?' 'Keluar air ke?' 'Kamu ada rasa apa-apa'."

Kecewa dengan layanan tersebut, dia kemudiannya membuat aduan kepada seorang lagi pegawai yang dikenali sebagai Inspektor Pillai, tetapi dia diberitahu supaya jangan menimbulkan sebarang masalah.

"Saya kemudiannya ditahan dalam bilik lokup selama empat hari bersama tahanan wanita sebelum dibebaskan dengan ikatjamin," katanya.

Pada 7 November lalu, atas sokongan pasangannya, A Ravichandran, 28, Mumtaz membuat aduan di Jabatan Disiplin Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

'Berperi kemanusian'

Ravichandran, yang turut menemani Mumtaz ketika diwawancara oleh malaysiakini, berkata ia amat marah dengan apa yang telah berlaku.

"Mengikut prosedur, polis memintanya menanggalkan pakaian. Tetapi lihatlah pada dirinya...dia macam seorang wanita...apakah mereka (anggota polis itu) buta?

"Jika mereka tidak memeriksa kad pengenalannya, apakah anda fikir pihak polis berani mengarahnya supaya menanggalkan pakaian," katanya.

Beliau menafikan yang Mumtaz terbabit dalam kegiatan pelacuran. Sebaliknya, kata Ravichandran, mereka pergi ke Ipoh untuk mengutip hutang daripada seorang kawan, dan Mumtaz ditahan ketika keluar membeli makanan.

"Saya bergegas ke balai polis (lepas mendapat mendapat tahu mengenainya). Polis bertanya sama ada saya ini bapa ayam," tambahnya.

Ravichandran, yang tinggal bersama Mumtaz sejak tujuh tahun lalu, berkata, pihak berkuasa tidak harus lupa bahawa maknyah juga seorang manusia.

"Mereka bukan bintang. Jadi tidakkah mereka juga perlu dihormati?

"Di manakah hak asasi kemanusiannya? Memang dia telah menjalani pembedahan penukaran jantina. Tetapi dia tidak menganggu sesiapa pun, adakah dia melanggar sebarang undang-undang?" soalnya.

Sudah banyak usaha pasangan tersebut untuk berkahwin tetapi sentiasa menemui kegagalan kerana Mumtaz tidak dapat menukar klasifikasi jantina dalam kad pengenalannya.

Menurut Ravichandran lagi, keadaan itu juga menyebabkan 'isterinya' itu gagal mendapatkan pekerjaan.

"Dia sering dipermainkan apabila dia menunjukkan kad pengenalannya ketika menghadiri temuduga kerja. Jika kerajaan enggan menukar jantina mereka, ia boleh mendorong mereka ke lembah maksiat.

"Janganlah melayan mak nyah seperti anjing. Dia seorang yang jujur dan baik hati. Saya sayangkan dia...jadi saya tidak kisah apa orang lain kata...," katanya. Berita asal