'Ada pemimpin Umno mohon masuk AMANAH'
Selepas PRU14, Parti Amanah Negara (AMANAH) menerima banyak permohonan menyertai keanggotaan parti itu, termasuk daripada ahli dan pimpinan parti Umno, maklum Presidennya Mohamad Sabu.
Mohamad dilaporkan agensi berita nasional berkata pemohonan untuk menyertai AMANAH itu juga termasuk dbeberapa pemimpin parti Umno dan beliau perlu masa untuk membuat perbincangan sebelum meluluskan permohonan mereka.
"Setakat ini, kami boleh menerima terus kalau terdapat ahli biasa Umno yang menyertai AMANAH tetapi kalau peringkat kepimpinan yang ingin menyertai, kami perlu membuat perbincangan terlebih dahulu sebelum meluluskan permohonan mereka," beliau dipetik Bernama sebagai berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AMANAH Pulau Pinang, di Sungai Dua.
Mohamad menjelaskan beliau hanya akan mendedahkan identiti pemimpin terbabit selepas pemohonan mereka sudah diterima untuk menyertai AMANAH.
Terdahulu, Bernama melaporkan hampir 5,000 tetamu membanjiri rumah terbuka AMANAH itu termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Anggota Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan kepimpinan Pakatan Harapan; gabungan PKR, Bersatu, DAP dan Amanah, peringkat negeri.
Hari ini, bekas ketua sayap Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan keluar Umno dan mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Parlimen bebas yang mewakili kerusi Masjid Tanah.
Pengumuman itu, menjadikan Umno kini tinggal 51 kerusi parlimen di Dewan Rakyat. Sebelum ini, anggota parlimen Umno dari Bukit Gantang dan Bagan Serai juga mengisytiharkan diri keluar Umno.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.