Kabinet arah imigresen henti soal-siasat pelancong wanita China
Kabinet telah mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia supaya tidak lagi menyoal siasat secara terperinci tujuan kedatangan pelancong wanita dari China sejurus mereka tiba di negara ini.
Kabinet telah mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia supaya tidak lagi menyoal siasat secara terperinci tujuan kedatangan pelancong wanita dari China sejurus mereka tiba di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz Abdul Aziz berkata pelancong wanita dari China khususnya yang berumur di bawah 35 tahun disoal bertubi-tubi oleh pegawai imigresen yang bertugas di lapangan terbang negara ini.
"Jemaah Menteri telah berbincang mengenai masalah warga China yang masuk ke negara ini. Seolah ada bentuk penganiayaan terutamanya wanita yang berumur 35 tahun ke bawah disoal bertubi-tubi tentang kedatangan mereka ke negara ini.
"Kita telah arah imigresen memberhentikan perkara ini. Pihak imigresen sepatutnya lihat pasport sahaja sama ada sah atau tidak," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.
Menurut laporan Bernama, isu itu dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet dua minggu lalu.
Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia berkata, semua pelancong termasuk dari China dialu-alukan datang ke negara ini dan mereka tidak sepatutnya mendapat layanan tidak baik ketika berada di sini.
Tanggal pakaian
"Sepatutnya tidak ada apa-apa halangan untuk mereka masuk ke negara ini," katanya.
Terdahulu, Nazri mengadakan pertemuan dengan tiga pelancong wanita dari China yang mendakwa hak asasi mereka dicerobohi oleh anggota polis negara ini.
"Saya sudah baca salinan laporan polis yang dibuat oleh mereka. Saya percaya laporan ini benar," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata selaku pengerusi jawatankuasa tersebut, beliau akan menghantar surat hari ini kepada pihak berkuasa terbabit berhubung perkara itu dan meminta siasatan dilakukan segera.
"Saya mahu mereka tahu jawatankuasa ini maklum tentang perkara ini dan kita akan mendapatkan laporan susulan mengenai perkara ini," katanya.
Pada kejadian 3 November lalu, pelancong terbabit dipaksa menanggalkan pakaian oleh seorang anggota polis di Ibupejabat Polis Daerah Petaling Jaya selepas ditahan kerana didakwa tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.