Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM gesa gugur dakwaan ke atas aktivis PPR Padang Tembak
Diterbitkan:  Jul 1, 2018 5:58 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam tindakan pihak berkuasa yang mahu mendakwa aktivis parti mereka, Karthiges Rajamanickam di mahkamah susulan menyertai bantahan pengusiran penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak, Air Itam di Pulau Pinang.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Anggota Jawatankuasa Pusat PSM Choo Chon Kai berkata peguam yang mewakili Karthiges, Arafas Abdul Razak menerima panggilan telefon Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang pada hari ini memaklumkan perkara itu.

Tambah Choo, selain Karthiges, seorang lagi, Nathan Munusamy, yang merupakan saudara kepada salah seorang penduduk PPR berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas tuduhan “menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas".

"PSM mengecam tindakan mendakwa Karthiges dan Nathan di mahkamah hanya kerana tindakan mereka yang ingin mempertahankan penduduk miskin di rumah PPR daripada diusir secara paksa.

"Tindakan sebegini sebenarnya akan membazirkan sumber kehakiman negara kita dalam pendakwaan yang tidak mempunyai alasan yang kukuh.

"PSM menyeru supaya dakwaan terhadap Karthiges dan Nathan digugurkan segera," katanya.

Pada 5 Jun lalu, Karthiges dan Nathan ditahan polis kerana terlibat dalam bantahan pengusiran tujuh keluarga yang tinggal di PPR berkenaan, namun dibebaskan pada hari sama dengan jaminan polis.

Karthiges turut mengetuai bantahan serupa di tingkat 3 Komtar yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan negeri pada 1 Jun bagi menggesa campur tangan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Susulan itu, empat keluarga yang terlibat dalam pengusiran itu telah ditawar perumahan alternatif di Seberang Perai Selatan selepas pertemuan dengan Exco Perumahan Negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.

Chow sebelum ini menjelaskan bahawa keluarga berkenaan telah diberi notis dan enam bulan penangguhan susulan pengusiran mereka.

Chow juga menegaskan bahawa hanya pihak yang tidak memenuhi kriteria yang terlibat dalam pengusiran itu.

Antara kriteria yang digariskan kerajaan negeri untuk kelayakan tinggal di PPR di Pulau Pinang adalah perlulah warganegara Malaysia, berpendapatan rendah dan membayar sewa bulanan.

 

Lihat Komen
ADS