Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan struktur semula Jakim, agensi berkaitan Islam
Diterbitkan:  Jul 2, 2018 9:10 AM
Dikemaskini: 5:37 AM

Jabatan dan agensi berkaitan agama Islam bawah Jabatan Perdana Menteri telah mengalami penstrukturan semula dan berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Sejumlah tujuh agensi diletakkan di bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) yang kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) manakala enam lagi dipindah kementerian.

Menurut surat Ketua Setiausaha Negara kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 26 Jun 2018 yang dilihat Malaysiakini, cadangan rasionalisasi struktur JPM itu telah diluluskan dan berkuatkuasa semalam.

Menurut surat itu, penstrukturan tertakluk kepada senarai kementerian yang diumumkan 2 Julai (hari ini).

"Jika jabatan/agensi yang dicadangkan dalam rasionalisasi in diletakkan bawah kementerian yang tiada dalam senarai, maka ia kekal bawah JPM," kata surat itu.

Tujuh agensi tersebut ialah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPeim), Yayasan Wakaf Malaysia, TV Al-Hijrah dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

Sebelum ini, TV Al-Hijrah, Ikim, Yadim dan YaPeim misalnya berada bawah JPM secara terus.

Sementara itu, empat jabatan dan agensi berkaitan Wilayah Persekutuan yang sebelum ini bawah JPM dipindah ke Kementerian Hal Ehwal Wilayah Persekutuan, menurut surat itu lagi.

Empat jabatan dan agensi itu ialah Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp),

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah pula diletakkan bawah Kementerian Undang-undang dan Kehakiman dan Halal Development Corporation bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Menurut surat itu lagi, Lembaga Tabung Haji kekal bawah JPM manakala Institut Wasatiyyah Malaysia dibubarkan.

Setakat ini belum jelas sama ada akan ada lagi penstrukturan semula bidang tugas agensi agama terutama JAKIM.

Jabatan agama negeri pula tertakluk bawah kerajaan negeri masing-masing.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan melihat semula pentadbiran Islam di negara ini, terutama Jakim, kerana menganggap ia telah menimbulkan gambaran salah terhadap agama itu seperti terlalu keras dan memaksa.

"Kita akan tentukan negara ini Islam tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa," katanya.

Lihat Komen
ADS