Ketika timbul ura-ura bekas "orang kuatnya" Datuk Ibrahim Ali akan bertanding dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir 6 Disember menentang Barisan Nasional, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau tidak merestui mana-mana calon Bebas.

"Kalau restu, saya tidak akan berada di sini," katanya ketika diminta mengulas mengenai hasrat Ibrahim, orang kanan beliau semasa era Parti Semangat Melayu 46 dahulu, untuk bertanding pada pilihanraya kecil itu.

Ibrahim, yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, telah dipecat daripada Umno kerana bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya umum lalu.

Tengku Razaleigh berkata beliau menyokong mana-mana calon yang dikemukakan oleh Badan Perhubungan Negeri Umno Kelantan.

"Pemilihan calon terpulang kepada Badan Perhubungan Umno dan pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Kampung Kubang Pak Amin di Pasir Mas.

Bukan mudah

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, beliau akan turut berkempen dalam pilihanraya kecil ini bagi membantu calon Barisan Nasional.

"InsyaAllah, jika kita bersatu kita boleh menang pilihanraya kecil ini," kata Tengku Razaleigh.

Lagipun, katanya, PAS telah gagal memberi perkhidmatan yang baik kepada penduduk kawasan itu.

Beliau mengakui bahawa kemenangan itu bukan mudah untuk dicapai kerana Pengkalan Pasir adalah kubu kuat PAS.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Wan Abdul Aziz Wan Jaafar dari PAS pada 31 Oktober lalu, akibat kanser. Dalam pilihanraya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Hanafi Mamat dengan hanya 56 undi.