Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images

Walaupun seramai 13 orang menteri kabinet baru mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini, namun timbul persoalan berhubung beberapa jawatan yang 'tertinggal'.

Sebelum ini, 13 orang mengangkat sumpah jawatan menjadikan jumlah menteri kabinet Pakatan Harapan (HARAPAN) sekarang dianggotai oleh 26 orang.

Namun semakan Malaysiakini mendapati terdapat empat kementerian yang tidak mempunyai timbalan menteri manakala satu kementerian pula tidak mempunyai menteri.

Kementerian yang tidak mempunyai timbalan menteri ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Luar Negara.

Bagi porftfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pula timbalan menteri yang mengangkat sumpah hari ini iaitu Md Farid Md Rafik.

Namun yang menjadi tanda tanya kini ialah tiada menteri untuk portfolio berkenaan.

Malaysiakini juga sedang mendapatkan komen daripada kementerian yang terlibat. 

Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai perkara itu berkata beberapa lagi anggota akan dilantik menjadikan keseluruhan barisan kabinetnya kepada 29 orang menteri.

Katanya, pelantikan tiga menteri itu hanya boleh dibuat selepas mereka mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara.

"Selagi kita tidak ada acara mengangkat sumpah menjadi senator maka selagi itulah tidak boleh lantik sebagai menteri.

"Kita akan mempunyai 29 orang (menteri), sekarang ada 26 orang, jadi ada tiga orang lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Lihat Komen
ADS