Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kenali Mohamaddin, menteri pelancongan pertama dari Sabah
Diterbitkan:  Jul 2, 2018 2:32 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Anggota Parlimen Silam Datuk Mohamaddin Ketapi, 61, menjadi wakil rakyat pertama dari Sabah yang dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berketurunan Idahan dan dilahirkan pada 3 Jun 1957 di Kampung Segama, Lahad Datu, Mohamaddin berharap peluang ini dapat digunakan untuk memartabat dan memperkasakan industri pelancongan di negeri Sabah.

“Pelancongan adalah antara industri yang menjadi penyumbang pendapatan negara, saya juga berhasrat untuk melaksana dasar yang memberi galakan luas untuk usahawan kecil dan sederhana agar bergiat lebih ramai dalam industri ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, beliau sedia maklum bahawa Sabah bukan sahaja kaya dengan hasil sumber alam tetapi juga budaya.

“Oleh itu saya akan mempromosi adat budaya dan etnik di Sabah agar dikenali di seluruh dunia dan seterusnya menjadi daya tarikan pelancong luar negara untuk berkunjung ke Sabah dan Malaysia,” katanya.

Pemegang Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari University of Buckingham, England itu mendirikan rumah tangga dengan Datin Zarinah Mohammad Ibrahim dan mereka dikurniakan enam anak.

Mengimbas penglibatan beliau dalam politik, Mohamaddin bermula sebagai Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Timbalan Setiausaha Agung PBS Pusat pada 1985.

Setahun selepas itu, beliau bertanding dan menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lahad Datu dan dilantik sebagai Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah pada ketika itu.

Beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti selain PBS sehingga kewujudan Parti Warisan Sabah (Warisan) dua tahun lepas dan menjadi Ketua Warisan Bahagian Silam (Penaja) serta Anggota Majlis Tertinggi Warisan hingga kini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lepas, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dengan majoriti 6,401 undi di kerusi Parlimen Silam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS