Notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei dijangka diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ng Suee Lim berkata penyerahan notis itu akan dilakukan selepas pihaknya menerima sijil kematian daripada keluarga Allahyarham.

"Berkenaan notis kekosongan kerusi Sungai Kandis, dijangkakan esok (serah pada SPR) selepas menerima sijil kematian daripada keluarga Allahyarham," katanya menerusi aplikasi WhatsApp, di Shah Alam hari ini.

Mat Shuhaimi, 50 yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira 11.10 pagi tadi akibat kanser limfoma.

Allahyarham meninggalkan dua isteri dan enam anak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.

- Bernama