Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kompleks Perkayuan Kelantan diarah bayar lebih RM5 juta pada pembalak

Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) Sdn Bhd diarahkan supaya membayar lebih RM5 juta kepada syarikat pembalak AS Timber Trading dalam tempoh 48 jam bermula semalam.

Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu mengeluarkan arahan berkenaan semalam. Ia dibuat selepas permohanan penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah yang menggantung perintah mahkamah yang dikeluarkan sebelum ini pada 31 Disember lalu.

Peguam defenden, Zainal Abidin Mustaffa berkata, arahan tersebut dibaca di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Negeri, Datuk Ahmad Bache' dalam pendengaran kes yang turut dihadiri peguam bela plantif.

Menurutnya, tuntutan plantif (KPK Sdn Bhd) ditolak pada 31 Disember dan diarahkan supaya membayar RM5,012,104.10 bagi upah kontrak pengeluaran kayu balak bertarikh 29 Oktober 2008.

"KPK Sdn Bhd juga diarahkan membuat bayaran faedah lima peratus setahun ke atas penghakiman dari tarikh penghakiman hingga tarikh pengkiman penuh dan kos penguamcara RM40,000.

"Pihak kami telah menghantar notis tuntutan kepada peguam yang mewakili KPK Sdn Bhd dan memberikan tempoh 48 jam untuk membuat bayaran tersebut," jelasnya.

Sebagai rekod, KPK Sdn Bhd merupakan anak syarikat kerajaan negeri Kelantan dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Terdahulu, KPK Sdn Bhd bertindak menyaman AS Timber dengan dakwaan tidak membuat pembayaran sewajarnya terhadap pembelian kayu, bagaimanapun syarikat tersebut bertindak balas dengan menyaman kembali KPK dengan dakwaan kontrak kerja-kerja pembalakan yang diberikan tidak dilunaskan dengan sempurna.

Lihat Komen
ADS