Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri undang-undang sah rombakan porfolio dalam JPM

Menteri undang-undang yang baru dilantik, Liew Vui Keong mengesahkan beberapa portfolio berkaitan undang-undang yang kini di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri telah "didesentralisasi" dalam penstrukturan semula.

Apabila dihubungi, Anggota Parlimen Batu Sapi berkata beliau telah bertemu dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa yang memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu selepas majlis istiadat angkat sumpah yang diadakan di Istana Negara pagi ini.

"Saya difahamkan akan ada desentralisasi berkaitan dengan pentadbiran portfolio tertentu dalam JPM termasuk undang-undang," kata Liew kepada Malaysiakini.

Liew, yang juga Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah (WARISAN), berkata demikian ketika diminta penjelasan mengenai surat bertarikh 26 Jun yang ditandatangani oleh Ali yang menyatakancadangan desentralisasi itu telah dibawa JPM sendiri dan juga telah dibincangkan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut surat itu, fungsi-fungsi Kluster Pengurusan Kehakiman di bawah JPM yang berhubungan dengan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah ditukar kepada kementerian baru mengenai kehakiman dan undang-undang.

Menunggu arahan PM

Surat itu juga menyatakan lima agensi yang disenaraikan di bawah Kluster Pengurusan Undang-Undang, Pengurusan Sumber Manusia dan Kluster Pembangunan Modal Insan, serta kluster lain, telah dipindahkan dan digabungkan di bawah kementerian baru yang sama.

Bagaimanapun, Liew berkata beliau hanya akan diberi taklimat tentang proses desentralisasi esok termasuk jika ia melibatkan penubuhan sebuah kementerian baru.

"Saya berharap dapat diberi taklimat ringkas apabila saya melaporkan untuk bertugas esok pagi.

"Saya juga perlu menunggu arahan selanjutnya daripada Perdana Menteri mengenai perkara itu sebelum saya boleh mengatakan apa-apa lagi," katanya.

Keseluruhannya, rancangan penstrukturan semula melibatkan kira-kira 90 entiti di bawah JPM, yang kini telah dikurangkan kepada 26.

Empat puluh daripada 90 telah dipindahkan, sementara yang selebihnya telah dimansuhkan atau digabungkan.
 

Lihat Komen
ADS