Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas tetak rakan, lelaki acu parang pada 'mahaguru'
Diterbitkan:  Jul 2, 2018 9:33 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

Akibat dendam seorang lelaki nekad menetak seorang warga Singapura yang merupakan rakan seperguruan dalam satu kejadian di sebuah rumah milik sifu mereka di Aulong, di Taiping awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi, lelaki berumur 23 tahun itu cedera parah apabila tapak tangannya hampir putus dan terdapat kesan tetakan pada bahagian kaki dan badan.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Taib berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu di rumah terbabit yang dijadikan tokong kira-kira 4.06 pagi.

Beliau berkata sebelum pihak polis tiba di lokasi kejadian, lelaki warga Singapura itu telah dihantar ke Hospital Taiping kerana mengalami kecederaan akibat ditetak teruk oleh suspek berumur 33 tahun.

"Sebaik polis tiba di lokasi kejadian suspek sedang mengacukan parang pada leher gurunya (bomoh) berumur 70 tahun di dalam bilik tidur utama dengan pintu berkunci.

Dipercayai berpunca dari dendam

“Rundingan telah diadakan untuk memujuk suspek supaya melepaskan dan tidak mencederakan mangsa tetapi suspek enggan. Suspek tidak membuat apa-apa tuntutan dan apabila ditanya sebab menahan mangsa, suspek tidak memberi sebarang respons,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata kira-kira dua jam kemudian suspek bersetuju melepaskan mangsa setelah dipujuk oleh pihak polis.

“Apabila mangsa keluar dari bilik tersebut, suspek telah mengunci semula bilik dan menahan pintu bilik dengan almari kayu. Mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata pihak polis kemudian merempuh pintu bilik tersebut dan masuk ke dalam apabila mendapati suspek mula mencederakan dirinya dengan parang dan pisau di dalam tandas bilik itu sebelum berjaya menangkapnya.

“Suspek mengalami kecederaan koyakan pada bahagian belakang kepala dan kesan tusukan di dada dan perut,” katanya sambil menambah suspek juga dipercayai mempunyai masalah mental.

Mohamad berkata hasil siasatan mendapati perasaan dendam itu dipercayai berpunca daripada tindakan warga Singapura terbabit menunjukkan isyarat kotor kepada suspek semasa mereka bertengkar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS