Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timbalan tak tahu siapa menteri JPM, tunggu PM umum

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr Md Farid Md Rafik memberitahu, beliau sendiri tidak tahu siapa bakal menteri bagi portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Md Farid yang baru mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri bagi portfolio berkenaan menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat pengumuman.

“Saya rasa tunggu pengumuman daripada Tun Dr Mahathir sendiri. Saya pasti, ada kemungkinan senator yang dilantik nanti akan diletakkan di Jabatan Perdana Menteri.

“Tak pasti (siapa menteri),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, walaupun seramai 13 menteri kabinet baru mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara semalam, namun timbul persoalan berhubung beberapa jawatan yang 'tertinggal’.

Semakan Malaysiakini mendapati terdapat empat kementerian tidak mempunyai timbalan menteri manakala satu kementerian pula tidak mempunyai menteri.

Sementara itu, Dr Mahathir pula ketika ditemui semalam berkata, beliau akan menjadikan keseluruhan barisan kabinetnya seramai 29 orang menteri.

Ketika ini hanya 26 orang menteri yang baru dilantik.

Menurut perdana menteri pelantikan tiga menteri lain hanya boleh dibuat selepas mereka mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara.

 

Lihat Komen
ADS