Jamal akan dihantar pulang segera, kata polis Indonesia
Polis Indonesia dijangka menyerahkan ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos kepada pihak berkuasa Malaysia pada hari ini atau esok, kata Ketua Polis Pusatnya, Tito Karnavian.
"Kita akan lakukan deportasi (penghantaran pulang) hari ini atau esok. Sekali lagi, prosesnya akan segera dilaksanakan, deportasinya kalau tidak hari ini, esok kembali ke Malaysia," katanya semasa sidang akhbar di Jakarta pagi ini seperti dilapor portal Tribunnews Indonesia.
Ketika dihubungi, jurucakap Polis Pusat Setyo Wasista berkata Jamal, yang ditahan di Tebet, Jakarta Selatan semalam, kini ditahan di ibu pejabat polis daerah itu dengan kehadiran polis Malaysia.
"Dia (Jamal) masih di sini sekarang. Kami (polis Indonesia) menyelaraskan dengan polis Malaysia mengenai proses pengusiran," kata Setyo kepada Malaysiakini.
Beliau menambah Jamal disoal oleh polis Indonesia dan Malaysia malam tadi selepas ditangkap pada jam 6.15 malam waktu Malaysia.
Setyo, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai penangkapan itu selain mengesahkan bahawa ia dijalankan berdasarkan permintaan daripada pihak berkuasa Malaysia selepas melancarkan gerakan memburu Jamal.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan PDRM telah diberitahu secara rasmi oleh polis Indonesia dan proses menghantar pulang Jamal sedang berjalan.
Jamal ditahan polis pada 22 Mei ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Ampang Puteri.
Dia dikehendaki atas pelbagai kesalahan, termasuk di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana melakukan gangguan awam dan Seksyen 34 Akta Senjata 1960 berkaitan penggunaan senjata api.
Ketika berada di hospital, Jamal didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan tetapi melarikan diri semasa proses ikat jamin.
Jamal berkali-kali mendakwa dia akan menyerahkan diri kepada polis sebelum dilapor telah melarikan diri ke Indonesia.

