Paling Popular
Terkini

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berharap agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dapat menamakan seorang timbalan bagi kementerian yang diterajuinya.

Menurut Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu, dengan adanya seorang timbalan ia dapat melancarkan lagi kementerian berkenaan.

"Memang saya tertunggu-tunggu seorang timbalan.

"Barangkali perdana menteri tercari-tercari calon yang sesuai untuk timbalan menteri pertahanan.

"Kita harap perdana menteri dapat menamakannya dan ia dapat melicinkan lagi kementerian pertahanan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis sambutan Aidilfitri di Wisma Perwira di ibu negara hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, walaupun seramai 13 orang menteri kabinet baru mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, namun timbul persoalan berhubung beberapa jawatan yang belum diisi.

Semakan Malaysiakini mendapati terdapat empat kementerian yang tidak mempunyai timbalan menteri manakala satu kementerian pula tidak mempunyai menteri.

Sementara itu, Dr Mahathir pula ketika ditemui semalam berkata, beliau akan menjadikan keseluruhan barisan kabinetnya seramai 29 orang menteri.

Ketika ini hanya 26 orang menteri yang telah dilantik.

Menurut perdana menteri pelantikan tiga menteri lain hanya boleh dibuat selepas mereka mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara.

Lihat Komen
ADS