Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil iktibar daripada kes bekas pensyarahnya Dr Azahari Husin dan sentiasa menjaga kakitangan dan pelajarnya daripada menyalahgunakan ilmu mereka.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Mohamed Zulkifli Mohamed Ghazali berkata, UTM akan sentiasa memberi nasihat kepada semua staf agar menjalankan tugas dengan betul dengan memberikan penekanan yang positif terhadap mereka.

Menurut laporan Bermama, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sudah mengeluarkan pandangan bahawa Dr Azahari adalah seorang individu berpendidikan yang memusnahkan diri sendiri.

Berikutan itu, UTM akan sentiasa memastikan tenaga akademiknya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan sedemikian, katanya kepada pemberita di majlis sambutan Aidilfitri UTM, di kampus UTM, Skudai dekat Johor Bahru hari ini.

"Segala episod sudah berakhir dan saya berharap agar UTM terus maju dan menumpukan tanggungjawab utamanya, iaitu melahirkan tenaga pengajar dan pelajar yang cemerlang demi negara," katanya.

Dr Azahari, 48, yang dikatakan dalang beberapa serangan maut bom di Indonesia sejak 2002, terbunuh dalam serangan pihak berkuasa Indonesia terhadap puak militan di Malang, Jawa Timur minggu lalu dan jenazahnya yang dibawa pulang, dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Batu 19, Jalan Cincin, Jasin, Melaka, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman yakin tiada kakitangan atau pegawai awam yang menjadi ekstremis agama yang boleh menjerumuskan mereka menjadi anggota kumpulan militan.

"Kita minta harap-harap tidaklah...dan saya rasa tidak," katanya selepas menerima kunjungan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri Brunei Pengiran Abdul Hamid Mohamed Yassin, di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Secara umum, katanya, rasa tidak puas hati di kalangan pegawai kerajaan biasanya terhad kepada terma-terma pekerjaan dan tidaklah sehingga seseorang kakitangan awam itu mengambil tindakan menceduk atau menggunakan idea yang menjurus kepada menjadi seorang ekstremis.