Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu perkahwinan kanak-kanak: PAS jangan manipulasi RUU355

ULASAN | Saranan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Mohd Nik Zawawi Salleh bahawa Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355) perlu diluluskan bagi mengatasi isu perkahwinan bawah umur adalah satu dakwaan tidak berasas dan satu manipulasi undang-undang syariah.

Ini adalah kerana isu perkahwinan bawah umur dikawal oleh Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dan bukannya Akta 355.

Akta 355 hanyalah berkaitan bidangkuasa Mahkamah Syariah berkenaan batas hukuman undang-undang jenayah syariah yang dibataskan kepada 6 sebatan, denda RM5000 dan 3 tahun penjara.

Usul RUU355 hanyalah bagi meningkatkan hukuman kepada 100 sebatan, denda RM100,000 dan penjara 30 tahun.

Oleh itu, di mana relevannya RUU 355 dengan isu perkahwinan bawah umur.

Menular tanpa kawalan

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) melihat isu perkahwinan bawah umur ini semakin serius dan menular tanpa kawalan.

Justeru, Pemuda AMANAH menyokong penuh cadangan kerajaan untuk meningkatkan had minima perkahwinan daripada 16 tahun kepada 18 tahun supaya kebajikan dan kepentingan kanak-kanak terutama dari sudut pendidikan dan kemampuan ekonomi terjamin.

Hak kanak-kanak untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan kehidupan yang baik dan adil bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi perlu diperkukuhkan selaras dengan Perkara 5 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi mengatasi isu perkahwinan bawah umur, Pemuda AMANAH mencadangkan agar Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dipinda bagi mengetatkan kebenaran permohonan pernikahan bawah umur dengan memberikan kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah dan bukannya wali, bagi menilai sesuatu permohonan dengan beberapa syarat ketat digubal dengan mengambil kira pandangan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan atas premis kepentingan umum.

Hak kanak-kanak dipelihara

Kuasa wali dalam isu perkahwinan bawah umur perlu diimbangkan oleh kuasa Mahkamah Syariah yang diikat dengan peruntukan undang-undang yang lebih ketat.

Wali seharusnya menjaga kebajikan dan kepentingan kanak-kanak dan bukannya menjadikan perkahwinan sebagai jalan penyelesaian sesuatu masalah.

Di samping itu, pindaan undang-undang yang dicadangkan ini juga mesti terpakai ke atas perkahwinan yang dijalankan di luar negeri sebelum perkahwinan disahkan oleh Mahkamah Syariah.

Perkahwinan di luar negeri tidak seharusnya dijadikan jalan keluar bagi mengelak melalui proses undang-undang ini.

Pemuda AMANAH berpendirian hak kanak-kanak mesti dipelihara supaya tidak wujud unsur diskriminasi, pedofilia, eksploitasi dan perhambaan di sebalik keharusan undang-undang Islam ini.

Sesungguhnya, undang-undang Islam menekankan kepada prinsip keadilan dan ihsan selaras dengan firman Allah di surah AnNahl:90. Justeru, kawalan ketat atau larangan perkahwinan bawah umur tidak melanggar prinsip hukum syarak.


FAIZ FADZIL ialah Timbalan Ketua Pemudah AMANAH dan ADUN Permatang Pasir.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS