Kementerian Sumber Manusia akan membatalkan lesen majikan yang memindahkan pekerja asing tanpa pengetahuan dan kelulusan kementerian, kata menterinya Datuk Seri Fong Chan Onn.

Katanya, majikan yang terbabit akan disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan mengambil pekerjaan asing buat selama-lamanya.

Beliau berkata, kementeriannya mendapati kegiatan memindahkan pekerja asing tanpa kelulusan semakin berleluasa, terutama di sekor perkhidmatan dan perkilangan.

"Kegiatan tersebut bukan satu rahsia lagi, malah ia menjadi perbahasan hangat di Dewan Parlimen kerana ramai ahli dewan khuatir ia boleh mengancam keselamatan negara.

"Untuk itu, kita telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Rakyat bertindak tegas menanganinya," kata beliau selepas melancarkan buku undang-undang pekerja di ibu negara hari ini.

Kesan pekerja

Beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah tersebut ialah meminda Akta Pekerjaan bagi mewajibkan majikan melaporkan pergerakan pekerja asing kepada kementeriannya.

Dengan cara itu, katanya, kementerian akan dapat mengesan sama ada pekerja asing mempunyai permit sah atau sebaliknya dan berapa lama tempoh mereka bekerja di negara ini .

Bagaimanapun, Fong enggan memberitahu jumlah majikan yang melakukan kegiatan berkenaan tetapi mengesahkan jumlahnya besar dan semakin meningkat.

Beliau juga mengingatkan para majikan bahawa mereka tidak dibenarkan mengambil pekerja asing untuk semua sektor pekerjaan, melainkan perkilangan, perkhidmatan dan perladangan.