Jangan ganggu kami, keluarga Azahari kecam pihak media
Terjemahan Anggota keluarga Dr Azahari Husin mendakwa, pihak media telah memutarbelitkan kenyataan mereka untuk disesuaikan dengan 'agenda pengganas'.
Terjemahan Anggota keluarga Dr Azahari Husin mendakwa, pihak media telah memutarbelitkan kenyataan mereka untuk disesuaikan dengan 'agenda pengganas'.
Malah, adik beradiknya mendakwa, latarbelakang Azahari sebelum dia didakwa terbabit dengan rangkaian keganasan antarabangsa, Jemaah Islamiah (JI), pun ditulis sedemikian untuk disesuaikan dengan personaliti seorang pengganas.
Salah seorang adik perempuannya, Suraya Husin (foto), anak ketiga dari sepuluh adik beradik, kelihatan keletihan ketika ditemui selepas selesai urusan pengkebumian Azahari di Jasin, Melaka.
Waktu ketika itu sudah melewati jam 1 pagi, dan beliau baru sahaja lepas mengucapkan terima kasih kepada hampir 500 saudara mara dan sahabat handai yang hadir di majlis pengkebumian tersebut.
"Apa lagi yang anda mahu tahu?" soalnya selepas bersetuju diwawancara ketika dia berada dalam rumah keluarganya.
Beliau, sepertimana juga anggota keluarganya yang lain, dengan tegas menolak panggilan 'pengganas' teradap Azahari.
'Tiada apa lagi'
"Apa gunanya bercakap lagi mengenainya? Saya kenal benar abang saya itu. Setelah memberitahu semua mengenainya, anda menulis perkara lain. Seluruh dunia hanya mahu apa yang mereka mahu tahu mengenainya.
"Jadi apa yang hendak dicakapkan lagi? Ianya umpama 10 orang berdepan dengan sejuta orang. Tidak kira apa yang kami cakap, mereka akan terus mengada-adakan apa yang mereka mahu katakan. Biarlah mereka berkata demikian. Kami tidak mahu cakap apa-apa lagi," katanya.
Beliau juga enggan menceritakan apa-apa mengenai kisah masa lampau Azahari dan kenangan manis ketika bersama abangnya itu.
"Apa gunanya memberitahu anda semua kenangan manis itu? Anda memutarbelitkan kenangan itu menjadi perkara yang negatif. Atau anda akan mempersenda-sendakan kenangan itu," katanya.
Seorang lagi anggota keluarganya menuduh pihak media telah menyalahlaporkan kenyataan mereka.
"Jangan beritahu mereka apa-apa lagi. Mereka akan memutarbelitkan kenyataan kita menjadi cerita lain," katanya kepada Suraya ketika meluahkan kemarahannya terhadap pihak media.
"Anda semua memang bagus dalam memutarbelitkan kenyataan kami," katanya dalam nada yang keras.
'Jangan ganggu kami lagi'
Bagaimanapun, adik lelaki Azahari, Bani Yamin Husin (foto), bersikap lebih mesra. Katanya, mereka memerlukan banyak masa untuk meredakan perasaan masing-masing, dan mungkin selepas itu, lebih bersedia ditemui media.
"Biarlah semuanya sejuk terlebih dahulu. Keadaan agak panas sekarang kerana banyak pertubuhan media telah mempermainkan kami. Suraya tidak mahu perkara itu berulang lagi. Berilah masa, mungkin mereka akan sedia bercakap kemudiannya," katanya.
Seorang lagi saudara lelakinya, Yusoff (kanan), juga meminta supaya jangan diganggu anggota keluarganya supaya mereka dapat kembali tenang selepas apa yang berlaku sejak minggu lalu.
"Biarlah keadaan pulih terlebih dahulu. Ini adalah masanya untuk bersama-sama menumpukan kepada (usaha membina semula) keluarga," katanya ketika dia melangkah meninggalkan kawasan perkuburan.
Azahari, bekas pensyarah universiti, dikatakan seorang pakar bom dan anggota penting JI, yang dituduh bertanggungjawab dalam pengemboman di pulau peranginan Bali di Indonesia.
Dia terbunuh apabila anggota pasukan keselamatan Indonesia menyerang tempat kediaman Azahari di republik itu pada 9 November lalu.
Jenazahnya dibawa pulang dari Jakarta malam tadi dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 19, Jalan Cincin, di Jasin, bersebelahan kubur ibnya pada jam 10.45 malam. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.