Komposisi barisan kabinet kerajaan baharu menepis kesangsian bahawa golongan Bumiputera akan dipinggirkan, kata Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Setiausaha Agungnya Datuk Dr Hasan Mad berkata dari segi komposisi etnik, kabinet yang ditonjolkan tidak banyak berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Ia sekali gus menepis sebarang kesangsian yang kerajaan Pakatan Harapan (Kerajaan HARAPAN) akan berkompromi dengan DAP, meminggirkan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata keberanian Dr Mahathir membariskan begitu ramai muka baharu terutamanya di kalangan generasi muda, juga menampilkan kelainan.
“Ia membayangkan bahawa pada usia sedemikian, Tun Mahathir berkeupayaan membaca selera dan naluri generasi muda yang sebaya dengan cucu dan cicit beliau,” katanya.
Iktibar BN ditolak rakyat
Dalam pada itu, Hasan berkata MPM juga berharap kerajaan dapat mengembalikan budaya pentadbiran kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat serta mengambil iktibar daripada kesilapan BN sehingga ditolak oleh rakyat.
Beliau juga mengharapkan kerajaan akan dapat kembali ke era pasca kemerdekaan di mana ketika itu keghairahan para pemimpin ialah kepada pembangunan, kesejahteraan, kemakmuran dan perpaduan rakyat dan negara.
“Majoriti rakyat hari ini sudah tidak lagi terikat dengan sentimen kepartian. Rakyat sebagai pengundi adalah independent. Mereka akan sokong mana-mana parti politik yang pada pendapat mereka mampu membentuk kerajaan yang mengutamakan agenda kemakmuran yang mereka harapkan,” katanya.
Walaupun begitu, katanya, budaya menukar kerajaan tidak harus berlaku terlalu kerap bagi memastikan kestabilan negara terjamin.
- Bernama