Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib ucap terima kasih pada SPRM
Diterbitkan:  Jul 5, 2018 8:32 AM
Dikemaskini: 12:58 AM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan penghargaannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak keselamatan.

Beliau berkata ia atas profesionalisme yang ditunjukkan mereka ketika dirinya ditahan dua hari lalu.

"Saya berterima kasih kepada pegawai dan anggota SPRM dan pihak keselamatan di atas profesionalisme mereka ketika saya ditahan.

"Saya telah dilayan dengan baik dan penuh hormat," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Selepas siri serbuan di beberapa hartanah berkaitannya dan dua soal siasat berhubung skandal 1MDB, SPRM akhirnya menahan Najib pada 3 Julai lalu.

Beliau bermalam di lokap SPRM dan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk didakwa, semalam.

Tidak seperti individu lain sebelum ini yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga, Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta dengan berkemeja putih, sut biru gelap dan bertali leher, serta tidak digari.

Najib dihadapkan tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan.

Ketua Umno Pekan itu juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menunjukkan sokongan terhadapnya semalam.

"Sepanjang hampir 24 jam, saya dapat lihat sokongan daripada rakyat...Saya juga tersentuh dengan mereka yang mengeluarkan kenyataan, termasuk yang menentang saya pada masa lalu, menyokong dan turut menggesa kerajaan memberikan layanan yang adil dan menghormati undang-undang.

"Saya dan keluarga mengucapkan terima kasih atas sokongan yang tak putus-putus kepada kami," katanya.

Kata Najib lagi, beliau akan menempuhi perbicaraan dengan cekal bagi membuktikan dirinya tidak bersalah dalam skandal berkaitan 1MDB.

"Perjuangan saya sentiasa untuk rakyat dan parti. Jika penganiayaan ini harga yang perlu saya bayar...saya sesungguhnya reda dengan dugaan dunia ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS