Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Mahkamah bukan satu-satunya jalan buat Najib bersihkan nama’
Diterbitkan:  Jul 5, 2018 12:20 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Perbicaraan di mahkamah bukan satu-satunya jalan bagi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membersihkan namanya, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

"Najib memberitahu wartawan bahawa perbicaraan akan memberikan beliau peluang terbaik untuk membersihkan namanya.

"Najib sebenarnya silap, beliau harus menjelaskan mengapa dirinya dan kerajaannya menafikan segala dakwaan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

“Kenapa beliau juga gagal memberi peluang kepada diri sendiri untuk membersihkan nama bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada dunia," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Pemimpin veteran DAP itu berkata Najib boleh membersihkan dirinya dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal 1MDB untuk menangkis timbunan maklumat yang menunjukkan beliau bersalah seperti yang didedahkan dalam saman pelucuthakan sivil yang difailkan oleh Jabatan Keadilan (DJ) AS.

Saman itu bertujuan untuk merampas AS$1.7 bilion aset berkaitan 1MDB.

"Najib baru-baru ini berkata bahawa beliau bukan seorang pencuri tetapi jika itu benar, mengapa beliau tidak menyaman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila pemimpin berusia 92 tahun itu secara terbuka melabelnya sebagai 'pencuri' semasa kempen pilihan raya umum ke-14?" soal Lim.

"Adakah Najib begitu naif dan terpencil dari realiti sedangkan beliau di kelilingi oleh kalangan penasihat dan ahli strategi yang dibayar gaji mahal yang tidak tahu bahawa keengganan membersihkan diri hanya mewujudkan persepsi antarabangsa tentang rasuah dan kebersalahannya?"

Di sebalik itu, Lim berkata Najib masih berhak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan objektif, walaupun ramai yang lain tidak diberikan layanan sama seperti Teoh Beng Hock, S Balamurugan dan Altantuya Shaariibuu.

"Dua kesalahan tidak akan menjadikan sesuatu itu sebagai betul, dan saya mengalu-alukan jaminan yang diberikan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa Najib akan diberikan perbicaraan yang adil dan proses yang sewajarnya dalam kes jenayahnya itu," katanya.

Lim juga mengalu-alukan keputusan SPRM yang bertindak secara profesional ketika menahan Najib dan membenarkan bekas perdana menteri itu memakai pakaian sendiri dan bukannya baju lokap serta tidak memakaikan gari terhadapnya.

Lim berkata, layanan sama harus diberikan kepada semua individu.

'Gagal undang simpati'

Najib, semalam, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu membabitkan RM42 juta.

Beliau ditangkap oleh SPRM di rumahnya di Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada Selasa lalu, dan bermalam dalam lokap.

Bekas perdana menteri itu kemudian dibebaskan dengan jaminan RM1 juta.

Sementara itu, Lim turut mengulas rakaman mesej yang disiarkan sebaik selepas penahanan Najib Selasa lalu yang menurutnya satu usaha untuk mengundang simpati rakyat Malaysia terhadap bekas presiden Umno itu.

Namun, katanya lagi, mesej itu gagal mencapai matlamat utamanya.

"Ia hanya mencetuskan perasaan katarsis di kalangan rakyat Malaysia bahawa episod panjang yang memalukan dalam sejarah negara akhirnya berakhir.

"Tiada permohonan maaf yang ikhlas, hanya penafian. Mendengar mesej Najib itu, saya tidak menangis untuknya, tetapi untuk Malaysia," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS