Terjemahan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang pro-kerajaan telah mempertahankan kewujudan akta kontroversial Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang disifatkannya sebagai satu undang-unang bagi'untuk melindungi kebajikan pelajar'.

Di samping itu, Naib Presiden majlis tersebut, Sulhairil Hafiz Sulaiman juga berkata, pelajar universiti tidak berhak untuk menuntut supaya akta itu disemak semula.

"Jika para pemimpin kerajaan merasakan akta itu patut disemak semula, maka semaklah. Jika tidak, tidak ada keperluan untuk menyemaknya. Kita tidak mempunyai sebarang cadangan, biarlah para pemimpin yang memutuskannya," katanya dalam wawancara dengan malaysiakini hari ini.

Ditanya bagaimana majlis tersebut boleh melindungi kebajikan para pelajarnya jika mereka tidak memberi sebarang cadangan, Sulhairil mendakwa bahawa para pelajar 'tidak layak' untuk berbuat demikian.

"Sebagai pelajar, kita bukan dalam kedudukan untuk memberi cadangan. Hanya para pemimpin yang boleh berbuat demikian kerana ia membabitkan soal undang-undang. Kami percaya para pemimpin sentiasa memikirkan soal kebajikan pelajar.

"Kami menerima apa sahaja yang baik untuk kebajikan pelajar," tambahnya ketika mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Sallh baru-baru ini bahawa kementeriannya mungkin menyemak semula akta tersebut selepas kajian dibuat mengenainya.

Sulhairil juga menolak desakan pergerakan Solidiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) supaya Auku dihapuskan, dengan berkata "majlis pelajar universiti diwujudkan di bawah peruntukan dalam Auku dan ia bertanggungjawab untuk melindungi kebajikan pelajar."

"Ini dengan jelas menunjukkan Auku adalah untuk melindungi kebajikan pelajar, jadi mengapa mereka mahu ia dihapuskan?" soalnya.

'Masalah diperbesar-besarkan'

Sulhairil mendakwa, SMM adalah sebuah badan tidak berdaftar yang tidak mewakili majoriti pelajar universiti dan telah mencemarkan imej UPM dengan 'tindakan mereka yang tidak rasional".

"Daripada sejumlah 23,000 pelajar UPM, kurang daripada 50 orang yang menyertai perhimpunan haram anjuran SMM Khamis lalu. Kempen mereka untuk memulaukan pilihanraya kampus baru-baru ini juga tidak mendapat sambutan pelajar. Seramai 93.4 peratus keluar mengundi. Ini menunjukkan mereka (SMM) tidak mewakili para pelajar," katanya.

Sulhairil turut mengecam tindakan SMM membantah pilihanraya kampus, serta menyifatkan tindakan mereka itu sebagai 'demonstrasi yang menggunakan gaya 'reformasi".

"Mereka bertindak seperti dalam tahun 70-an, tetapi kita kini berada dalam milenium baru.

"Tindakan mereka telah mencemarkan imej universiti. Kami dalam majlis pelajar perlu menjelaskan kepada pihak awam bahawa sebahagian besar pelajar menyokong langkah menyelesaikan masalah secara aman, seperti mengadakan rundingan meja bulat," katanya.

Beliau menegaskan, majlis pelajar ditubuhkan selepas berlangsungnya pilihanraya kampus yang diadakan secara sempurna dan diiktiraf oleh pihak berkuasa universiti.

SMM telah melancarkan kempen memulau pilihanraya kampus yang lalu yang didakwanya tidak telus dan tidak adil. Ia mendesak supaya pilihanraya kampus yang baru diadakan.

Ia juga mendesak supaya tindakan diambil terhadap mereka yang didakwanya bertanggungjawab mencemarkan pilihanraya kampus itu, serta meminta supaya dihentikan perbuatan melanggar hak pelajar, serta penghapusan Auku.

Dalam pilihanraya kampus September lalu, buat pertama kalinya, kesemua 17 universiti awam di seluruh negara, dikuasai kumpulan pro-kerajaan (yang dikenali sebagai 'Aspirasi Kerajaan') yang disokong oleh pihak berkuasa universiti. Terdapat pelajar di lima universiti utama yang memulau pilihanraya kampus tersebut.

Sejak sekian lama, pihak berkuasa kampus secara terbuka telah menyokong kumpulan pro-kerajaan dalam usaha untuk 'membersihkan' kumpulan anti-kerajaan di semua kampus di seluruh negara.

Kumpulan pro-kerajaan, dengan bantuan pihak berkuasa, telah berjaya menyekat kehadiran pelajar dari puak anti-kerajaan menduduk majlis perwakilan pelajar.

Sehingga ini, 10 pelajar dari UPM, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya menghadapi dakwaan terbabit dalam kempen menentang pilihanraya kampus.

'Takut bersuara'

Sementara itu, dalam reaksinya, jurucakap SMM, Kong Wee Cheng menolak dakwaan itu, dengan berkata para pelajar universiti takut untuk menyuarakan pandangan sebenar mereka.

Kong berkata, berdasarkan kenyataan Sulhairil itu, ia kelihatan seperti majlis perwakilan pelajar UPM telah 'menyerahkan' haknya untuk mengambil bahagian dalam semakan semula Auku.

"Jelas sekali yang Auku telah melanggar hak para pelajar tetapi mereka sebenarnya takut untuk bersuara," tambahnya.

Kong juga mendakwa bahawa peratusan pengundian yang tinggi seperti dakwaaan Sulhairil adalah disebabkan oleh hakikat bahawa para pelajar 'secara tidak langsung' telah dipaksa oleh pihak berkuasa universiti supaya keluar mengundi.

"SMM mempunyai ahli di seluruh negara dan sepertima majlis perwakilan pelajar itu, kami tidak mewakili semua pelajar. Kami mewakili para pelajar yang menentang perjalanan pilihanraya kampus yang tidak adil dan penuh dengan penyelewangan," katanya.

Menurutnya, tindakan yang diambil oleh SMM adalah selaras dengan hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan "...dan rakyat Indonesia, Taiwan, Filipina dan Korea juga menyuarakan pandangan mereka melalui cara yang sama (perhimpunan aman). Ini adalah cara paling asas untuk memastikan suara kami didengar".

"Malah, pergerakan 'Aman Malaysia' juga mengadakan perhimpunannya," tambahnya./ Berita asal