Pemimpin 21 ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) akan mengeluarkan kenyataan khas menggesa dihidupkan semula rundingan perdagangan sedunia yang tertangguh-tangguh, apabila mereka menggulung perbincangan sidang kemuncak esok, kata pegawai-pegawai hari ini.

Kenyataan bersama yang akan dikeluarkan secara berasingan daripada deklarasi tahunan mereka itu, akan menyeru supaya Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menyelesaikan rundingannya mengenai Agenda Pembangunan Doha (DDA) menjelang akhir tahun depan.

Rundingan Pusingan Doha menemui jalan buntu sejak bertahun-tahun disebabkan oleh perbezaan pendapat mengenai beberapa isu sensitif seperti subsidi eksport pertanian dan pengurangan tarif bagi produk bukan pertanian.

"Pusingan Doha itu mungkin dibatalkan melainkan jika ia mencapai sesuatu yang penting di persidangan peringkat menteri WTO di Hong Kong bulan depan," kata Yun Kang-hyeon, pengarah yang bertanggungjawab bagi bahagian WTO, Kementerian Luar Korea Selatan.

Itulah sebabnya pemimpin-pemimpin Apec merancang untuk menghantar mesej "politik" yang lantang kepada dunia bahawa DDA harus diselamatkan, katanya.

Dalam kenyataan itu, pemimpin-pemimpin itu akan menyeru supaya subsidi eksport pertanian dihapuskan sama sekali oleh negara-negara maju menjelang 2010, kata Yun.

Peserta penting

Menurut laporan Bernama, s ektor pertanian merupakan batu penghalang terbesar bagi pelaksanaan pakej rundingan DDA yang juga mencakupi produk bukan pertanian, bidang perkhidmatan dan norma-norma perdagangan.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Brazil dan India adalah peserta penting dalam rundingan mengenai produk pertanian.

Sementara itu, pemimpi-pemimpin negara Lingkaran Pasifik akan mengadakan satu pertemuan khas dengan penasihat-penasihat perniagaan masing-masing hari ini untuk mendengar pendapat dan saranan bagi mencapai matlamat bersama iaitu pelaburan dan perdagangan bebas.

Ketua-ketua ekonomi Apec itu akan disertai oleh 58 anggota Majlis Penasihat Perniagaan Apec (Abac) di Pusat Pameran dan Konvensyen Busan.

Pertemuan sejam itu akan diadakan dari jam 4.15 petang (kira-kira jam 3.15 petang waktu Malaysia), dengan ketua kesemua 21 ekonomi Apec termasuk Presiden AS, George W. Bush, dan Presiden Russia, Vladimir Putin, yang akan mengambil bahagian dalam lima perbincangan berkumpulan yang berasingan, kata pihak penganjur di Korea Selatan.

Jumpa Bush

Ini adalah susulan kepada mesyuarat pertama pemimpin-pemimpin dalam sidang kemuncak tahunan mereka yang berlangsung selama dua hari, yang dikenali sebagai `Retreat'.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan menyertai pemimpin-pemimpin Asean dan dunia yang lain bagi Retreat pemimpin (Retreat 1) di Pusat Pameran dan Konvensyen Busan serta dialog pemimpin dengan Abac.

Awal hari ini, Abdullah menyertai enam pemimpin Asean yang lain, yang juga anggota Apec, bagi pertemuan dengan Bush.

Perdana Menteri juga akan mengadakan rundingan dua hala dengan Presiden Mexico, Vicente Fox Quesada, dan Presiden Vietnam, Tran Duc Luong, dalam masa sampingan sidang kemuncak Apec hari ini.

Kemudian hari ini, beliau akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Chile, Ricardo Lagos Escobar.