Malaysia sedang menyiasat sama ada sebahagian daripada pinjaman dari bank milik kerajaan China untuk membiayai projek bernilai AS2.3 bilion (RM9.3 bilion) pernah digunakan bagi membiayai tunggakan hutang 1MDB, kata seorang pegawai kementerian kewangan kepada Reuters.

Projek dimaksudkan itu ialah pembinaan dua saluran paip yang ditandatangani kerajaan Datuk Seri Najib Razak pada 2016 selepas beliau berjaya mendapatkan pelaburan dari China sebelum diketepikan melalui pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

Najib yang sudah didakwa berhubung dengan siasatan itu menafikan sebarang salah laku. Beliau juga mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke mahkamah pada Rabu.

Sebelum ini akhbar Financial Times yang mula melaporkan kaitan wujud hubungan antara pinjaman untuk projek saluran paip dari Export-Import Bank of China (EximBank) itu dan 1MDB.

Pinjaman itu diberikan kepada Suria Strategic Energy Resources (SSER), iaitu anak syarikat milik kementerian kewangan yang memantau projek terbabit.

Kata sumber dari kementerian, SSER sudah mengarahkan syarikat kontraktor China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) untuk menggantung projek tersebut semalam.

Sumber itu yang enggan dikenali berkata Malaysia cuba mendapatkan kerjasama kerajaan China untuk menjalankan siasatan berkenaan dan melihat sama ada dana untuk projek tersebut boleh dipulangkan.

Bagaimanapun jurucakap kementerian yang ditanya mengenai pinjaman untuk projek tersebut serta 1MDB enggan memberi komen.

EximBank dan CPPB belum memberikan kenyataan apabila diminta oleh Reuters.

[Baca berita penuh]