Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin Umno dedah surat beku akaun 'junior saver' anak Najib
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 1:03 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Seorang pemimpin Umno mendedahkan apa yang didakwanya sebagai surat rasmi tentang pembekuan tiga akaun CIMB atas nama anak bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa.

Berkongsi surat itu di Instagram, anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Lokman Noor Adam berkata pembekuan itu termasuk akaun 'Junior Save' anak Nooryana berumur sepuluh bulan yang didaftarkan atas nama ibunya.

"SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) nak nafi?

"Memanglah akaun atas nama ibu sebab Adam masih bayi, tapi tak faham erti 'Junior Saver'? Adakah ibu yang pakai akaun 'junior'?" katanya.

Beliau mengulas penafian Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berhubung pembekuan akaun cucu Najib.

"Akaun cucu Najib tidak pernah dibekukan," kata Azam seperti dipetik Sinar Harian semalam selepas Nooryana membangkitkan isu itu di Facebook.

Menurut surat yang dimuat naik Lokman, tiga akaun atas nama Norryana dibeku mengikut subseksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Malaysiakini sedang menghubungi SPRM untuk meminta respons mereka.

Laporan polis terhadap Dr M, KP SPRM

Dalam satu lagi hantaran Instagram, Lokman berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berhubung perkara itu di ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi malam ini.

Lokman berkata selepas sekian lama Najib dikaitkan dengan isu RM2.6 bilion, beliau akhirnya tidak didakwa berhubung kes itu.

"Sejak tiga tahun lalu, antara 2015 hingga 2018, Mahathir memfitnah bekas perdana menteri di pentas ceramah, wawancara media dan tulisan (di blog) bahawa Najib mencuri RM2.6 bilion daripada 1MDB.

"Jutaan rakyat Malaysia mempercayai fitnah ini dan mengambil keputusan untuk mengundi Pakatan Harapan dalam PRU lalu," katanya lagi.

Beliau berkata terkejut apabila Najib tidak didakwa atas tuduhan itu tetapi dengan empat tuduhan berkaitan SRC International.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa wang itu daripada 1MDB tetapi Najib kekal menyatakan ia adalah derma daripada anggota keluarga diraja Arab Saudi.

Lokman turut berkata satu perhimpunan akan diadakan di luar kompleks membeli-belah Sogo, berdekatan IPD Dang Wangi, pada pukul 9 malam sebelum laporan dibuat.
 

Lihat Komen
ADS