Polis akan menjalankan siasatan terhadap tiga anggotanya yang didakwa memaksa seorang tahanan berbogel dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 16 Oktober lalu bagi membuktikan jantinanya.

Kejadian itu didakwa dilakukan oleh anggota polis berkenaan bagi memastikan tahanan itu benar-benar seorang `wanita' selepas dia mendakwa sudah menjalankan pembedahan menukar jantina di Thailand sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Che Sab Hanafiah berkata Mumtaz atau nama sebenarnya Abdul Malik Theen Mohamed, 24, yang dipercayai bekerja sebagai tukang masak. ditahan bersama seorang "mak nyah" lain atas kesalahan menjalankan kegiatan tidak bermoral di sebuah bilik hotel di Ipoh.

Dia ditahan kira-kira jam 3.30 petang pada 16 Oktober selepas polis menemui dua bungkusan kondom di sebuah bilik di hotel berkenaan.

Menurut laporan Bernama, Che Sab berkata, selepas dikenakan tahanan reman empat hari, kes itu dibawa ke mahkamah dan mahkamah menetapkan Jun tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Bagaimanapun, Mumtaz mendakwa semasa dibawa ke IPD Ipoh untuk disoal siasat, dia dipaksa berbogel di hadapan tiga anggota polis bagi membuktikan dia kini seorang wanita.

Mumtaz yang berkahwin dengan seorang lelaki A. Ravichandran, 28, membuat laporan polis berhubung tindakan polis terbabit di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur kelmarin.