Berita Malaysiakini

Wan Ji bantah cadangan Zam tutup sekolah tahfiz

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Penceramah Wan Ji Wan Husin membantah gesaan bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin agar kerajaan menutup sekolah tahfiz.

Beliau mengulas cadangan Zainuddin - lebih dikenali sebagai Zam - itu yang menyifatkan ia sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada "amalan agama jumud".

"Pertama sekali langkah mesti diambil untuk menutup semua sekolah tahfiz di negara ini yang tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baru Islam," kata Zam di blognya.

Membalas kenyataan itu, Wan Ji berkata soal kejumudan tidak bergantung kepada sistem tahfiz semata-mata tetapi bagaimana pemikiran pelajar dibentuk.

"Sekolah biasa juga ada melahirkan pelajar yang jumud, pelajar tahfiz juga boleh mempunyai pemikiran yang hebat, malah merentasi zaman.

"(Ia soal) sejauh mana cara berfikir dibentuk sejak di peringkat sekolah lagi. Jika guru didedahkan dengan pemikiran kreatif, sekolah tahfiz pun boleh lahirkan pelajar yang tidak jumud," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya lagi, Zam sepatutnya menggesa ke arah pendedahan pemikiran kreatif di sekolah tahfiz, bukan penutupannya secara pukal.

Mengakui memang wujud pelajar tahfiz yang bersikap demikian, Wan Ji berkata sudah banyak pihak yang menggesa sistem itu tidak dibataskan kepada hafazan al-Quran semata-mata.

"Sebaliknya sekolah tahfiz perlu juga didedahkan dengan ilmu moden dan kemahiran," katanya lagi.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini Mei lalu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik turut menyentuh soal reformasi pengajian Islam di negara ini dan akan dimulakan di sekolah tahfiz.

Maszlee berkata, unsur yang lebih moderat dan progresif perlu diterapkan - bagi memupuk rasa hormat tanpa mengira kaum dan agama.