Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tabung Solidariti Datuk Seri Najib yang dilancarkan 5 Julai lalu bagi membantu bekas perdana menteri itu berdepan perbicaraannya di mahkamah berjaya mengutip RM489,166 setakat pukul 9.30 pagi ini, kata Datuk Razlan Rafii.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pagi ini.

"Ini adalah tanda sokongan rakyat yang merasakan pengorbanan beliau perlu dihargai...ada lagi rakyat yang masih bersolidariti dengannya.

“Semenjak tabung dilancarkan, telefon saya menerima pelbagai pesanan, Whatsapp dan panggilan. Ada yang bertanyakan kesahihan tabungan ini, ada yang menangis setelah menyumbang, ada yang berdoa agar Najib dapat mengatasi segala masalah yang timbul," kata bekas ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan itu.

Selain anggota Umno, beliau berkata turut menerima sumbangan daripada warga Singapura, Brunei dan Indonesia.

Razlan kemudian bergegas ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menurutnya mahu menyerahkan hasil kutipan itu kepada keluarga Najib.

Sementara itu, anak Najib, Nooryana Najwa dan Noorashman tiba di mahkamah sebentar tadi bagi membayar baki RM500,000 wang ikat jamin bapanya.

Turut hadir adalah suami Nooryana, Daniyar Kessikbayev.

Bayaran pertama dibuat pada Rabu lalu ketika Najib dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

Beliau dihadapkan dengan tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM 42 juta.

Lihat Komen
ADS