Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pendirian Thomas dalam tulisannya 2 tahun lalu jelas tak suka saya'

Datuk Seri Najib Razak dalam samannya terhadap Tommy Thomas memetik salah satu tulisan peguam negara itu yang disiarkan Malaysiakini pada Julai 2016 sebagai antara sebab bekas perdana menteri itu menganggap Tommy tidak sewajarnya mengetuai pendakwaan ke kesnya.

Najib dalam afidavitnya berkata artikel bertajuk "Gran Lacerni in 1MDB" menyimpulkan wang telah dimasukkan ke dalam akaun bekas presiden Umno itu.

"Pendirian Thomas jelas tidak menyukai saya dalam artikel itu dan melahirkan kebimbangan kepada saya Thomas tetap akan mencari jalan mengenakan satu pertuduhan ke atas saya dengan apa alasan sekalipun. Maka saya sudah membuat laporan pada 18 Jun berhubung perkara ini.

"Artikel itu jelas tunjukkan Thomas tidak mempunyai pendirian tersendiri ke atas saya dan saya merasakan yang saya tidak akan mendapat pertimbangan sewajarnya, saya nyatakan Thomas tidak patut atau tidak layak terlibat dalam penyiasatan 1MDB," katanya.

Najib melalui peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga menggesa agar Thomas digugurkan dari mengetuai pasukan pendakwa.

Jumaat lalu, Najib dilaporkan memfailkan tiga saman berasingan terhadap Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Saman berkenaan difailkan secara berasingan pada 30 Jun lalu.

Sementara itu, berhubung Shukri, Najib Mempersoalkan integritinya susulan sidang media yang diadakannya sebelum ini.

"Pada sidang media itu, Shukri beremosi dan berdendam serta menggambarkan saya sebagai bersalah. Maka, dia tidak layak mengetuai siasatan SPRM dan menjadi anggota pasukan petugas khas 1MDB yang ditubuhkan Majlis Penasihat Negara," katanya.

Amar pula, kata Najib, merupakan individu yang bertanggungjawab mengetuai serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan Najib.

Lihat Komen
ADS