Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mesej Hanipa dari wad: Boring gila di hospital
Diterbitkan:  Jul 9, 2018 4:39 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

Belum pun sampai 10 jam dimasukkan ke hospital, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mohamed Hanipa Maidin sudah berasa bosan dan ingin kembali bertugas.

Beliau yang dirawat selepas pengsan pagi tadi pada majlis perhimpunan bulanan JPM, mengakui berasa penat namun meminta kebenaran daripada doktor untuk kembali ke pejabatnya.

Hasratnya itu bagaimanapun tidak dibenarkan oleh doktor.

"Saya okey. Alhamdulillah. Tapi boring gila di hospital. Saya minta kebenaran doktor untuk kembali ke pejabat tapi tak dapat.

"Lesu rasanya. Apa-apapun, terima kasih atas doa anda semua. Hidup Pakatan Harapan," kata anggota parlimen Sepang itu kepada seorang rakannya melalui mesej WhatsApp.

Mesej itu kemudian dikongsi di Facebook oleh rakannya itu.

Majlis perhimpunan bulanan JPM di Dataran Perdana di Putrajaya pagi tadi dikejutkan dengan insiden Hanipa tiba-tiba pitam semasa berdiri di barisan menteri dan timbalan menteri.

Hanipa terjatuh dari pentas ketika Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang berucap. 

Dijangka keluar esok

Pemimpin AMANAH itu kemudian dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pegawai media Hanipa tengah hari tadi bagaimanapun mengesahkan timbalan menteri itu sudah sedar dan dalam keadaan stabil.

Hanipa yang juga merupakan peguam bertanggungjawab dalam undang-undang adalah antara tiga timbalan menteri di JPM yang mengangkat sumpah pada 2 Julai lalu.

Beliau dikenali dengan perwatakannya yang tegas dan lantang di parlimen.

Namun, ini bukan pertama kali Hanipa pengsan ketika sedang bertugas.

Beliau pernah dikejarkan ke hospital selepas pengsan selepas secara tiba-tiba ketika bersidang di Dewan Rakyat pada 4 April 2016.

Hanipa kembali menyertai persidangan Dewan Rakyat enam bulan kemudian setelah terlepas sesi lalu akibat serangan angin ahmar.

Pada pilihan raya umum ke-14, Hanipa yang mewakili Pakatan Harapan mempertahankan kerusi Sepang yang sebelum ini ditandinginya atas tiket PAS dengan mengalahkan calon BN dan PAS.

Sementara itu Hospital Putrajaya petang tadi memberitahu keadaan Hanipa kini stabil dan masih mendapatkan rawatan di situ.

"Beliau masih di bawah pemerhatian pihak hospital selama 24 jam dan dijangka dibenarkan pulang esok," kata pusat perubatan itu dalam satu kenyataan.

Lihat Komen
ADS