Berita Malaysiakini

Sumber: Dr M tak akan hadir sambutan hari jadi

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka tidak akan hadir sambutan ulang tahun kelahirannya yang dirancang dianjurkan oleh sebuah persatuan Cina pada 22 Julai.

Acara sambutan hari jadi itu mencetuskan kontroversi kerana salah seorang penganjur adalah ahli perniagaan Tee Yam @ Koo Tee Kam, yang ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969 pada 2005.

Koo menafikan dakwaan pihak berkuasa bahawa dia terlibat dengan organisasi rahsia.

Satu sumber dari Pejabat Perdana Menteri memberitahu Malaysiakini bahawa sambutan ulang tahun yang dirancang bukan sebahagian daripada jadual Mahathir pada 22 Julai nanti.

"Tidak, tidak dalam jadual PM," kata sumber itu.

Mahathir berumur 93 tahun esok

Acara itu pada mulanya dijadualkan berlangsung pada 22 Julai di sebuah restoran di Pudu, Kuala Lumpur.

Penganjur menjemput 2,000 wakil persatuan Cina dan merancang untuk menyumbang RM100,000 kepada Tabung Harapan Malaysia.

Presiden kehormat Gabungan Persatuan Pedagang Cina, Liew Poon Siak, yang merupakan salah seorang penganjur utama, berkata beliau belum dimaklumkan oleh PMO sama ada Mahathir akan muncul.

"Buat masa ini, saya tidak tahu (Mahathir tidak dapat datang). Saya akan menunggu pemberitahuan PMO.

"Pemberitahuan terakhir yang kami terima mengatakan bahawa ia mungkin ditangguhkan. Tarikh itu tidak disahkan tetapi ia tidak akan berlaku pada bulan Julai," katanya kepada Malaysiakini.

Liew juga dilihat merupakan tokoh kontroversi dalam masyarakatCina.

Beliau bertanggungjawab terhadap pembinaan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH) yang merupakan serpihan daripada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH).