PM: Beri peluang pengurusan baru uruskan MAS
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta supaya pengurusan baru Malaysia Airlines System Bhd (MAS) diberi peluang untuk menguruskan syarikat penerbangan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta supaya pengurusan baru Malaysia Airlines System Bhd (MAS) diberi peluang untuk menguruskan syarikat penerbangan itu.
"Beginilah, berilah peluang kepada pengurusan baru itu melaksanakan tugasnya," kata beliau semasa diminta mengulas wawancara Mingguan Malaysia bersama bekas pengarah urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.
Dalam wawancara itu Abdul Aziz antara lainnya berkata bahawa syarikat tersebut mengeluarkan banyak perbelanjaan kerana melantik "bermacam-macam" syarikat konsultan.
Bernama
memetik Abdullah sebagai berkata, Pengarah Urusan MAS, Idris Jala; Pengerusinya, Datuk Dr Munir Majid, pemegang saham serta Khazanah Nasional Bhd di jangka
menemui beliau tidak lama lagi.
"Mungkin mereka ingin memberitahu apa yang mereka ingin jalankan ataupun ingin mendengar pandangan saya," kata Abdullah dalam sidang akhbar selepas meninjau persiapan Sidang Kemuncak Asean di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur hari ini.
Sidang Kemuncak Asean ke-11 itu akan berlangsung dari 12 hingga 14 Disember depan di ibu negara.
Beliau berharap pengurusan baru syarikat itu akan dapat menjadikan MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan yang "elok, terkenal dan dapat memberi keselesaan kepada penumpang."
Idris yang dilantik sebagai pengarah urusan MAS pada bulan September lalu, di jangka memulakan tugasnya pada 1 Disember depan.
Bagi suku tahun pertama berakhir Jun 30, 2005, MAS mencatatkan kerugian lebih RM280 juta.

