Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Reezal Merican Naina Merican layak bertanding jawatan presiden gabungan itu kerana beliau adalah ahli yang sah, kata bekas Setiausaha Agung GPMS, Syed Anuar Mohamad.

Beliau berkata, Reezal merupakan seorang ahli dari sebuah cawangan di Pulau Pinang dan negeri itu mempunyai 28 cawangan dan bergabung dengan GPMS pusat.

Beliau berkata, GPMS membuat pindaan perlembagaan pada tahun 2001 dengan mengambil ketetapan bahawa ahli cuma perlu membayar sekali sahaja, iaitu semasa membuat permohonan menjadi ahli.

Sebelum pindaan itu, katanya, ahli diwajibkan membayar yuran setiap tahun tetapi tindakan itu tidak berkesan kerana ramai ahli yang tidak membayar yuran.

Syed Anuar.berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha GPMS, Sobri Ahmad bahawa badan itu sedang menyiasat sama ada Reezal Merican seorang ahli yang sah, termasuk membayar yuran tahunan.

Sebelum ini, Sobri berkata, pihaknya juga sedang meneliti sama ada Pulau Pinang boleh menjadi ahli gabungan GPMS kerana menurutnya negeri itu cuma mempunyai dua cawangan kerana syarat yang diperlukan ialah sekurang-kurangnya tiga cawangan.

Mesyuarat khas

Sementara itu Syed Anuar mendakwa, pemecatan beliau dan Timbalan Presiden, Shahril Rejab yang dilakukan oleh Datuk Suhaimi Ibrahim dibuat secara tidak sah.

Katanya, ini kerana pemecatan itu hanya dilakukan dalam mesyuarat khas yang dihadiri oleh empat ahli majlis, sedangkan ia sepatutnya dihadiri sekurang-kurangnya enam ahli majlis.

"Selain itu, Shahril dan saya perlu dipanggil untuk membela diri dan diberi notis selama seminggu untuk berbuat demikian tetapi Suhaimi tidak melakukannya," katanya.

Berikutan itu, katanya pihaknya menganggap pemecatan tersebut sebagai tidak sah dan mendakwa beliau dan Shahril masih ahli GPMS..

Bagaimanapun, katanya pintu rundingan dengan kumpulan yang diketuai Suhaimi untuk menyelesaikan konflik tersebut masih dibuka dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.

Salah satu caranya, kata beliau, Suhaimi perlu bertanding dalam perhimpunan agung khas yang akan diadakan pada 10 Disember ini di Kuala Lumpur.

"Beliau perlu bertanding atas tiket perwakilan dari Pahang dan bukannya atas jawatan Presiden GPMS dan jika beliau menang, Suhami akan menjadi presiden dan kami akan mengiktirafnya, " katanya.