Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis belum terima permohonan pulangkan barang kemas Rosmah

Polis belum menerima permohonan daripada isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi memulangkan barang kemas yang dirampas dari serbuan berhubung siasatan 1MDB.

Ketua Polis Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Rosmah mempunyai hak untuk memohon pihak berkuasa memulangkan barangan yang dirampas meskipun ia mungkin sukar kerana barangan itu diperlukan dalam siasatan.

"Ada prosedur perundangan yang dia kena ikut. Itu hak dia utk mohon, (tapi) barang-barang itu ada kaitan dengan siasatan.

"Saya mengikuti siasatan setiap hari dan setakat ini, tiada sebarang permohonan daripada Rosmah atau sesiapa (bagi memulangkan barang yang dirampas)," kata Fuzi dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Seorang tukang emas borong terkenal dari Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Rosmah bulan lalu berhubung penghantaran 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari sebelum dirampas polis pada Mei.

Sementara itu, mengulas berhubung dakwaan suami Rosmah, Datuk Seri Najib Razak bahawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Amar Singh tidak mengikut prosedur piawai (SOP) dalam serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu, FUzi berkata Najib boleh katakan apa saja yang dia mahu.

"Itu dia cakap. Macam-macam dia boleh cakap. Biar nak cakap apa pun, kita ikut proses undang-undang. Kita tunggu sahaja," katanya.

Najib sebelum ini dilaporkan menyaman tiga individu yang menurutnya prejudis terhadapnya dalam siasatan 1MDB.

Tiga individu itu ialah Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull dan Amar Singh.

Lihat Komen
ADS