'Proton tetap kereta nasional'
Proton diyakini akan tetap unggul sebagai kereta nasional dan tidak akan tenggelam, kata Ketua Pegawai Eksekutif DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Reza.
Katanya, perkara itu dijelaskan pada sesi taklimat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) bersama DRB-Hicom Bhd, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (GEELY) sebagai rakan strategik Proton pada tahun lepas.
“Pada pertemuan hari ini kami terangkan kepada mereka (CEP) untuk memastikan keyakinan terhadap Proton dalam pasaran automotif, dalam erti kata Proton dan Perodua kekal sebagai kereta nasional.
"Keyakinan dalam pasaran itu harus dipertahankan,” katanya kepada pemberita di Menara Ilham di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Syed Faisal keyakinan terhadap industri pemotoran negara juga dapat dilihat berdasarkan respon Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memandu uji SUV Boyue Geely pada 25 Jun lalu.
"Seperti yang kita lihat dalam video, Proton meminjamkan kereta (Boyue Geely) kepada Dr Mahathir dan dia suka kereta itu.
"Jadi secara tidak langsung ia menunjukkan keyakinan beliau dalam teknologi Geely dalam proton,” katanya.
Perbincangan masih berjalan
Sebelum ini Dr Mahathir pernah membincangkan hala tuju pengeluar kereta negara, Proton, bersama hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Syed Faisal serta pegawai tinggi Geely.
Dr Mahathir juga sempat memandu sendiri Proton SUV yang belum lagi dilancarkan itu.
Sementara itu ketika ditanya usahasama antara Proton dan Indonesia untuk menghasilkan kereta Asean, Syed Faisal berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan.
“Kita akan teruskan perbincangan mengenai perkara itu,” katanya.
Pada 29 Jun lalu, perbincangan dua hala dilakukan dalam pertemuan antara Dr Mahathir dan Presiden Indonesia Joko Widodo.
Dr Mahathir berkata usaha itu telah dipersetujui pada 2015 tetapi tidak menjadi kenyataan berikutan beberapa perkara yang tidak dapat dijangka.
Proton dan PT Adiperkasa Citra Lestari menandatangani perjanjian persefahaman yang menyatakan kedua-dua syarikat itu akan menjalankan kerjasama dalam kajian dan kebolehlaksanaan projek berkenaan.
Dr Mahathir, yang pernah menjadi pengerusi Proton sebelum ini berkata, usaha sama itu dapat diperluaskan ke arah kereta Asean.

