Desakan agar kerajaan Malaysia menyerahkan pendakwah Islam kontroversi, Dr Zakir Naik kepada kerajaan India untuk menghadapi beberapa tuduhan jenayah di negara itu semakin kuat kedengaran.

Turut membuat desakan sama ialah N Ganesan, pengasas sebuah NGO bernama Freedom yang menolak pandangan pihak tertentu menganggap Zakir sebagai seorang 'hero'.

Sebaliknya, beliau berkata Zakir menimbulkan kebimbangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini dan menjadi 'alat' oleh elit politik negara untuk memenuhi kepentingan politik mereka.

"Adakah kita benar-benar memerlukan Zakir dalam Malaysia Baru terutamanya apabila kita sepatutnya menjauhkan diri dari ketaasuban, atau bagaimana?" soal Ganesan.

"Sekiranya beliau tidak lagi diperlukan dalam Malaysia Baru tetapi dia terus tinggal di sini, maka ada orang yang mendapat manfaat dan mahu melindungi beliau supaya beliau dibenarkan tinggal di negara ini," katanya.

"Beliau mungkin berpengalaman, belajar al-Quran dan Hadis tetapi jika beliau terus menjadi sumber pecah belah, kita tidak memerlukannya," tegas Ganesan.

Mesej yang disampaikan Ganesan selama tujuh minit itu dimuat naik ke YouTube semalam.

Ganesan memberi respon terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata Zakir boleh tinggal di Malaysia kerana beliau tidak melakukan sebarang jenayah di negara ini.

Mahathir hari ini juga berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mengusir Zakir kerana pelbagai faktor telah dipertimbangkan termasuk undang-undang.


Baca: Kita tidak akan tunduk kepada tekanan usir Zakir


Ini sebagai menjawab Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy semalam yang mengatakan masyarakat dunia kini sedang melihat dan tertanya-tanya mengapa Malaysia enggan mengusir Zakir yang didakwa melakukan jenayah di India, seperti pengubahan wang haram dan menyokong aktiviti keganasan.

[Baca berita penuh]