Lokap ibu pejabat Polis Daerah Pasir Mas telah dikosongkan bagi menyumbat mereka yang cuba mencari pasal untuk menghalang proses pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir daripada berjalan lancar.

Amaran keras tersebut diberikan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar kepada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan menggagalkan pilihanraya kecil yang akan berlangsung di sini 6 Disember ini.

Noh berkata, pasukan keselamatan tidak akan 'memilih bulu' dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang membuat kacau, tidak kira dari parti PAS, Barisan Nasional (BN) atau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

"Walaupun ia hanya pilihanraya kecil, namun implikasinya besar dan mungkin boleh menggugat kedudukan kerajaan kelantan yang kini dikuasai PAS dengan 23 kerusi.

"Sekiranya BN menang di Pengkalan Pasir, kerusi BN dalam DUN Kelantan akan bertambah menjadi 22 menyebabkan majoriti yang semakin tipis dengan hanya satu kerusi," katanya.

"Ia amat penting kerana boleh menjejaskan keseluruhan DUN Kelantan. Jadi mungkin ada pihak yang cuba ambil kesempatan untuk mengganggu-gugat perjalanan pilihan raya kecil ini," katanya kepada pemberita.

Sebagai bukti tindakan tanpa kompromi terhadap pihak yang melanggar peraturan, Noh berkata, pihak polis sebelum ini telah menyuraikan lima perhimpunan ceramah yang dianjurkan tanpa mendapat permit.

"Dari segi ini, polis tidak berat sebelah. Setakat ini, polis sudah mengarahkan lima ceramah dihentikan kerana tidak mempunyai permit, termasuk dari BN dan PAS sendiri. Kita juga akan pantau perjalanan kempen semua pihak terlibat.

Anggota tambahan

"Bagi mengelak kesesakan lalulintas pula, kita nak bagi tahu awal-awal, jangan marah kepada polis kalau polis tunda bawa balik ke balai kenderaan yang diletak merata tempat sehingga mengganggu lalulintas. Ini kerana kita nak pastikan lalu lintas sepanjang masa pilihanraya ini tidak terhalang," katanya.

Menurut laporan Bernama, Noh berkata, pasukan keselamatan juga telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Pendakwaraya negeri untuk mendakwa secepat mungkin mereka yang didapati melanggar undang-undang dan menghalang perjalanan pilihan raya DUN Pengkalan Pasir.

"Dengan persediaan dan kekuatan yang kita ada, pasukan polis memberi jaminan pengundi-pengundi dapat keluar mengundi dengan selamat," katanya.

Menurutnya, polis Kelantan menambah kekuatan sebanyak 1,252 anggota, tambahan kepada 431 anggota polis daerah Pasir Mas yang sedia ada bagi memastikan keselamatan sepanjang tempoh pilihanraya kecil berlangsung.

Noh berkata, jumlah anggota akan ditambah berdasarkan keperluan. Sebuah helikopter polis akan digunakan untuk pemantauan dari udara.

Selain itu, 380 anggota pasukan polis simpanan persekutuan (FRU) termasuk 20 anggota wanita diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Pilihanraya berkenaan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar, 55, dari PAS akibat kanser hati 31 Oktober lalu.

Sebelum itu, Noh diberi taklimat mengenai persiapan keselamatan pasukan polis Kelantan oleh Ketua Polis Kelantan SAC I Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Penguasa Jalil Talib. Turut hadir ialah pegawai kanan polis Kelantan.