Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) mengharamkan sembilan buku berbahasa Melayu kesemua diterbitkan di Indonesia dan satu berbahasa Arab yang diputuskan memudaratkan ketenteraman awam.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, pengharaman itu dibuat di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 1987.

Tajuk-tajuk penerbitan berbahasa Melayu yang diharamkan itu ialah Hakikat Lafadz A.L.L.A.H. (karangan/terjemahan Muhyiddin Ibnu Arabi/terbitan Penerbit Pustaka Progressif), Indonesia; Dari Zaman Nabi Muhammad SAW Dan Para Sahabat (KH. Abdullah Zakiy Al-Kaaf dan Drs Maman Abdul Djaliel/CV Pustaka Setia, Indonesia); Kisah Tongkat Nabi Musa (KH.Abdullah Zakiy Al-Kaaf dan Drs Maman Abdul Djaliel/CV Pustaka Setia).

Delapan Azab Allah SWT (KH. Abdullah Zakiy Al-Kaaf dan Drs Maman Abdul Djaliel/ CV Pustaka Setia); Jemaat Yang Mengalami Terobosan Strategi-Strategi Apostolik (Dr Jonathan David/ Nafiri Gabriel, Indonesia); Mengapa Kita Mencintai Keluarga Nabi SAW (Muhammad Kadzim Muhammad Jawad/PT Lentera Basritama, Indonesia).

Setetes Rahasia Alam Tuhan Melalui Peristiwa Metafisika Al-Mi'raj (KH.Bahaudin Mudhary/ Penerbit Pustaka Progressif); Quran Menurut Perempuan (Amina Wadud/ PT Serambi Ilmu Semesta, Indonesia); dan 40 Hari Khalwat Catatan Harian Seorang Psikologis Dalam Pengasingan Diri Sufistik (Michaela Ozelsel/ Pustaka Hidayah, Indonesia).

Penerbitan berbahasa Arab yang diharamkan pula berjudul Al-Audah Ila Al-quran yang bermaksud Kembali Kepada Al-Quran (Kassim Ahmad/ Maktabah Madbuli Al-Saghir, Mesir).

Menurut Bernama, k ementerian itu memberikan amaran bahawa orang ramai dilarang sama sekali untuk mencetak, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengelilingi, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki penerbitan itu.