Terjemahan Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pernah dituduh 'terlalu banyak bercakap' supaya Matematik dan Sains diajar semula dalam bahasa ibunda. Kini beliau dituduh pula hanya 'berdiam diri' mengenai perkara yang sama.

Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa Koh membisu selepas kenyataannya dikritik oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Lim berkata, Koh telah membiarkan Dr Mahathir dan Khairy 'menggertaknya' dan seterusnya seolah-olah menolak teori Koh mengenai bahasa ibunda adalah tidak berasas.

"Ia merupakan satu kerugian kepada bidang pendidikan serta negara jika sikap membisu Koh itu dianggap sebagai mengesahkan bahawa gesaan supaya disemak semula pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris....bersifat cauvinis dan tidak mempunyai asas pendidikan langsung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya sanggup membantu Koh dengan semua kajian yang dijalankan oleh para pakar, hujah-hujah pendidikan dan bukti penyelidikan tentang mengapa ia (penggunaan bahasa Inggeris) tidak berkesan...dan terdapat banyak lagi cara yang berkesan (mengajar matapelajaran tersebut)..," tambahnya.

Koh, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang telah lama memperjuangkan pengajaran matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Minggu lalu, akhbar Utusan Malaysia memetik Khairy sebagai memberi amaran kepada Gerakan supaya berhenti mencabar dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung isu tersebut, bagi mengelak wujudkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Khairy menyifatkannya sebagai suatu yang luar biasa apabila kerajaan BN atau dasar kerajaan tidak disokong oleh salah sebuah parti komponennya sendiri.

Sehari sebelum itu, Dr Mahathir mempersoalkan sama ada wujud "elemen cauvinis" dalam dalam gesaan Koh supaya disemak semula penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran matematik dan sains di sekolah rendah Cina dan Tamil.

Semua perantaraan

Manakala seorang pelajar Melayu muncul pelajar terbaik dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah rendah Cina tempat dia belajar apabila keputusannya diumumkan Khamis lalu.

Noorzaini Nordiana Mohd Noor dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa di Jitra, Kedah, mendapat 7A.

Menurut Lim lagi, jawapan 'tiada komen' oleh Koh berhubung pencapaian Noorzaini itu, tidak membantu usaha memulihkan semula penggunaan bahasa ibunda dalam pengajaran sains dan matematik.

Lim berkata, hakikat bahawa bahasa Cina bukanlah merupakan bahasa ibunda Noorzaini, tidak menjejaskan pula hujah bahawa cara terbaik mengajar matematik dan sains adalah dalam bahasa ibunda kerana yang terpentingnya ialah bahasa pengantar yang digunakan di peringkat awal pendidikan di sekolah rendah.

"Kecemerlangan Noorzaini memproleh 7A dalam UPSR patut dipuji. (Bagaimanapun) bahasa pengantarnya selama enam tahun di sekolah rendah adalah bahasa Cina," tegas Lim.

Dalam isu lain, Lim menggesa kabinet supaya menggantung dan menyemak semula rancangan yang diumumkan Jumaat lalu untuk memperuntukkan lima peratus tempat di universiti tempatan kepada pelajar asing.

Beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak adil kerana setiap tahun terdapat pelajar terbaik dari kalangan bukan Melayu yang gagal mendapat tempat di universiti tempatan.

Oleh itu, beliau mencadangkan supaya peruntukan lima peratus itu dihadkan kepada jurusan yang bukan kritikal sahaja.

"Gantung pelaksanaanya tahun depan dan arah (Menteri Pendidikan Tinggi) Tan Sri Shafie (Mohd Salleh) supaya mendapatkan maklumbalas daripada orang ramai, serta mengemukakan cadangan kepada Parlimen untuk dibahaskan," tambahnya. Berita asal