Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno lantik peguam tuntut wang parti disita polis
Diterbitkan:  Jul 11, 2018 4:31 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Umno hari ini melantik pasukan peguam bagi menuntut kembali wang berjumlah RM116.7 juta yang didakwa milik parti itu yang dirampas polis dalam siri serbuan di hartanah berkaitan Datuk Seri Najib Razak sepanjang Mei lalu.

Ketua Unit Undang-Undang ibu pejabat Umno Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pasukan peguam akan meneliti segala isu perundangan berkaitan dengan tuntutan tersebut.

"Umno melantik Tetuan Scivetti & Associates dengan Datuk Hariharan Tara Singh sebagai peguam utama mewakili Umno dalam membuat tuntutan dana politik/wang berjumlah RM116.7 juta milik Umno yang disita polis.

"Pasukan peguam antaranya sedang menimbang kaedah dan cadangan tindakan undang-undang yang boleh diambil dalam membuat tuntutan ini.

"Pasukan peguam akan membuat permohonan sewajarnya kepada agensi penguatkuasaan khususnya PDRM untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan untuk tindakan kami seterusnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina yang juga anggota parlimen Pengerang berharap tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi yang tidak wajar berhubung perkara itu.

Sepanjang Mei lalu, polis menyita barang kemas dan wang tunai yang ditemui dalam serbuan ke hartanah berkaitan Najib dalam siasatannya terhadap skandal 1MDB.

Beberapa pemimpin Umno, antaranya Tan Sri Shahrir Samad, Datuk Bung Moktar Radin dan Najib sendiri, kemudian mendakwa wang tunai tersebut adalah milik Umno dan untuk kegunaan PRU ke-14.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Amar Singh Ishar Singh pada 27 Jun lalu meminta pihak yang berkata demikian untuk tampil ke depan dan memberi keterangan kepada polis.

"Setakat ini tiada yang tampil ke depan," katanya ketika itu.

 

Lihat Komen
ADS