Proton lancar model baru Chancellor 15 Disember
Proton Holdings Bhd akan melancarkan sedan kelas eksekutif terbarunya iaitu "Chancellor" pada 15 Disember ini, kata pengerusi Datuk Mohad Azlan Hashim.
Proton Holdings Bhd akan melancarkan sedan kelas eksekutif terbarunya iaitu "Chancellor" pada 15 Disember ini, kata pengerusi Datuk Mohad Azlan Hashim.
Menurutnya, kereta itu boleh didapati di cawangan-cawanan dan wakil peniaga Proton Edar dan Edaran Otomobil Nasional (EON). Mohd Azlan, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
"Keluaran secara umumnya ialah pada bulan depan. Kami akan meneliti harganya yang akan bergantung kepada spesifikasi," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 295 kereta, termasuk 40 unit Chancellor kepada Kementerian Luar Negeri.
Kereta itu akan diguna oleh para delegasi yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-11 mulai 12-14 Disember depan.
Beliau berkata, pilihan menggunakan kenderaan Proton sebagai kereta rasmi untuk sidang kemuncak itu, akan membolehkan Proton memperlihatkan keupayaan industri negara di samping menyediakan wadah yang paling ideal untuk memperkenalkan produk terbarunya "Chancellor" kepada pasaran.
Model Chancellor, direkabentuk khas sebagai sebuah sedan kelas eksekutif bagi memenuhi keperluan eksklusif para pegawai kerajaan atasan, pemimpin korporat, ketua peniagaan dan eksekutif kanan hari ini.
Menurut laporan Bernama, "Chancellor" direka bentuk atas platform Waja yang telah terbukti dengan asas tayar 2850mm.
Kenderaan itu juga telah dibina dengan mematuhi semua standard keselamatan antarabangsa yang relevan dan telah menjalani ujian menyeluruh dan mendapat pengesahan daripada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.
Sasar 100 ribu unit
Sementara itu, Dewan Rakyat diberitahu bahawsa Proton mensasar untuk menjual 100,000 unit kereta di luar negara pada 2008.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Husni Hanadzlah berkata penjualan kereta Proton di luar negara pada tahun ini ialah 17,000 unit.
Proton mempunyai sasarannya sendiri dan telah mengenalpasti 25 negara untuk dimasuki, katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2006 kementerian itu di peringkat jawatankuasa di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pada masa ini Proton merangka rancangan untuk memberi tumpuan kepada pasaran tertentu terlebih dahulu seperti United Kingdom, Asia Barat, Asia Tenggara, Australia dan China.
Katanya, bukan mudah untuk menembusi pasaran luar kerana pelbagai aspek perlu diambil kira seperti perlunya pengedar, bilik pameran, pengagihan rangkaian, khidmat lepas jualan serta keperluan memiliki dana yang banyak.
Ahmad Husni berkata bagi meningkatkan daya saing dan pemasaran Proton, syarikat itu kini dalam proses penyusunan, termasuk sama ada untuk mengadakan pakatan dengan syarikat luar negara.
"Ini semua sedang dirunding termasuk beberapa perkara lagi yang dilihat oleh Proton iaitu dari segi meningkatkan R&D," katanya.
Terdahulu ketika Ahmad Husni menggulung perbahasan itu, beberapa ahli Parlimen bangun untuk mempersoalkan dayasaing Proton di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Ketika menjawab persoalan yang ditimbulkan itu, beliau berkata, Proton sentiasa meningkatkan dayasaingnya bagi memastikan syarikat itu dapat terus bersaing dengan pengeluar kereta lain.
"Pengurusan Proton sentiasa melakukan pelbagai kaedah untuk memastikan ia dapat terus bersaing mengikut keadaan dan keperluan semasa dan tidak pernah statik," katanya.
Mengenai dayasaing negara yang kini ketinggalan berbanding Thailand yang dibangkitkan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) Ahmad Husni berkata, adalah tidak adil untuk membandingkan daya saing sesebuah negara hanya berpandukan kepada satu faktor.
Beliau berkata, ini kerana petunjuk yang digunakan bagi menentukan dayasaing antara sesebuah negara itu berbeza dan diukur dalam pelbagai segi seperti pengeluaran serta produktiviti.

