Pemimpin Islam Australia mahu peragawati Michelle Leslie, yang dibebaskan dari penjara Kerobokan, Bali kerana kesalahan memiliki pil ecstasy, mematuhi cara berpakaian mengikut ajaran Islam dan tidak lagi memperagakan pakaian dalam.

Presiden Majlis Persekutuan Islam Australia, Dr Ameer Ali berkata, Islam melarang wanita berkelakuan kurang sopan, dan Leslie, anak kacukan Filipina dan Australia, tidak lagi patut bekerja sebagai model pakaian dalam, kerana dia sudah memeluk Islam.

Leslie, 24, yang pulang ke Australia hari ini selepas menjalani hukuman penjara tiga bulan di penjara Kerobokan, Bali kerana memiliki dua biji pil ecstasy.

Walaupun tiada peraturan spesifik mengenai tahap Leslie perlu menutup tubuhnya, tetapi ajaran Islam melarangnya berpakaian "separuh bogel", kata Dr Ali kepada agensi berita Australia, AAP.

"Cara berpakaian mengikut ajaran Islam ialah wanita perlu sopan," katanya dan menurutnya Leslie boleh terus menjadi model tetapi perlu sopan sepertimana model di Indonesia dan Malaysia.

Undang-undang Islam juga membenarkan Leslie menjadi seorang penari tetapi sesetengah orang Islam "mungkin tidak menyukainya" jika beliau menari di tempat seperti kelab malam, katanya.