Berita Malaysiakini

Projek solar: Bekas pembantu Najib direman 4 hari

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, direman empat hari sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi hari ini mengesahkan mengenai penahanan individu berusia 44 tahun itu.

Menurutnya, individu itu ditahan pada Isnin lalu selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendakwa bekas pemimpin tertinggi negara menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan kementerian pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

SPRM sebelum ini sudah menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek berkenaan.

-Bernama