Bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi Pengkalan Pasir dalam pilihanraya umum lalu, Hanafi Mamat akan menghormati dan menyokong keputusan pucuk pimpinan memilih calon BN bagi pilihanraya kecil kawasan tersebut 6 Disember ini.

Beliau adalah antara empat nama yang disebut-sebut tersenarai untuk dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil tersebut.

Tiga lagi yang tersenarai ialah Ketua Umno Bahagian Pasir Mas Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman, Naib Ketua Che Johan Che Pa dan Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Kelantan, Tuan Anuar Tuan Mat.

Penamaan calon telah ditetapkan Ahad ini bertempat di Dewan Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (1).

"Saya secara peribadi menghormati dan menyokong sebarang keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti," kata Hanafi yang juga naib ketua Umno Bahagian Pasir Mas kepada Bernama.

Menurutnya, jentera parti harus menyokong penuh sesiapa sahaja yang dipilih untuk bertanding.

Katanya, jentera BN yang terdiri daripada Pemuda, Wanita, Puteri serta Putera Umno dengan kekuatan kira-kira 4,500 orang, perlu terus bekerja keras tanpa mengira siapa yang diangkat menjadi calon Ahad ini.

Kuli yakin BN menang

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau yakin BN mampu memenangi pilihan raya kecil itu sekiranya semua pemimpin Umno bersatu dan mengetepikan masalah kecil seperti soal siapa yang dipilih menjadi calon.

Pandangan Tengku Razaleigh itu senada dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan pengundi di Pengkalan Pasir sudah matang serta tidak mudah terpengaruh dengan isu yang sering dimainkan Pas.

Bagaimanapun, seorang tokoh Umno di Pasir Mas, Tengku Iskandar Tengku Ahmad, mengingatkan jentera parti supaya tidak memandang rendah keupayaan pihak lawan sebaliknya beliau menasihatkan jentera parti supaya bekerja lebih keras.

Ditanya mengenai strategi terbaik mendekati masyarakat di bandar Pasir Mas, veteran Umno itu berkata jentera parti seharusnya menggunakan gerak kerja yang menumpukan perhatian kepada pengundi.

Tengku Iskandar juga mengingatkan jentera parti supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan berkata : "Walaupun wisel pilihan raya kecil Pengkalan Pasir hanya akan berbunyi pada 27 Nov ini, namun harus diingat bahawa Pas mungkin berada 50 meter di hadapan kita. Jadi, sempatkah kita mengejar mereka?"

Senario politik Kelantan agak berbeza berbanding negeri-negeri lain. Sejarah politiknya telah membuktikan bahawa rakyat negeri itu adalah pengundi yang sukar diramal dan mereka berani membuat perubahan.

Ini tergambar melalui seloka politik yang popular di kalangan rakyat Kelantan yang berbunyi: "Beri gulo kuca (kacau), Beri kain (pelikat) pakai, beri pitih (duit) ambik, pangkah (undi)... ?".