Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Polis, Mindef perlu siasat kematian kadet pelatih TLDM'

Pihak polis dan Kementerian Pertahanan (Mindef) perlu menyegerakan penyiasatan terhadap kematian seorang kadet pelatih Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, gesa kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL).

Penasihat LFL, N Surendran memberitahu sidang akhbar mangsa, Soosaimanicckam Joseph, 27, meninggal dunia pada 19 Mei, seminggu selepas diterima masuk dan memulakan latihan di Markas Pangkalan Lumut.

Menurut Surendran, bedah siasat si mati menunjukkan dia meninggal akibat cecair berlebihan di dalam paru-parunya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tiada penjelasan lanjut mengenai kematian Soosai kecuali dua laporan polis yang dibuat keluarganya, disamping siasatan dalaman yang dijalankan TLDM.

"Sampai hari ini, tiada penjelasan memuaskan yang diberikan pihak tentera laut punca anak muda ini meninggal dunia.

'Keluarga tak dipanggil'

"Kami difahamkan mereka (TLDM) mengadakan siasatan dalaman, tetapi pihak keluarga tidak dipanggil dalam siasatan berkenaan, jadi ia kelihatan bukan suatu inkuiri yang benar-benar serius," kata peguam itu.

Surendran juga membacakan kepada pemberita, mesej pesanan WhatsApp yang dihantar Soosai kepada saudaranya sehari selepas mendaftar ke markas tenetra laut itu yang mendakwa dia didera.

"Kami didera sehingga jam 4 pagi. Tidur cuma diberi selama satu jam, tetapi aku tidak dapat tidur selama sejam itu, (suasana) bising," baca mesej itu.

Tuduhan sebegini menimbulkan persoalan apakah yang sebenarnya terjadi di markas TLDM itu, tanya Surendran.

"Latihan seperti apa yang dibuat di sana? Disiplin ketat seperti apa yang dijalankan di sana? Bagaimana seorang anak muda yang sihat boleh meninggal dunia hanya selepas berada di sana selama tujuh hari?

Graduan kejuruteraan elektrik

"Apa yang saya rasa cukup luar biasa hal ini senyap dan pihak TLDM tidak mampu memberikan sebarang penjelasan kepada pihak keluarga. Maksud saya, mereka baru saja kehilangan seorang anak muda yang cerah masa depannya," kata Surendran memaklumkan Soosai seorang graduan kejuruteraan elektrik.

Charles Joseph, abang sulung Soosai memberitahu pemberita si mati pernah bekerja dalam bidang kejuruteraan dengan pendapatan yang tinggi tetapi beliau masuk menyertai pasukan tentera laut semenjak lima tahun lalu kerana dia selalu mahu berkhidmat untuk negara.

Tanpa jawapan dan tiada tanda kes ini ditutup, Surendran menggesa pihak TLDM, polis dan Kementerian Pertahanan untuk melakukan siasatan segera terhadap isu berkenaan.

"Mereka mesti bertindak segera dan menyiasat apa yang berlaku di markas TLDM itu kerana ini soal hidup dan mati. Kami tidak mahu hal ini berlaku kepada orang lain.

"Tiada jaminan apa yang berlaku kepada Soosaimanicckam, tidak akan berlaku lagi kepada pelatih lain," katanya, mengingatkan pemberita mengenai dua anggota TLDM lain yang meninggal dunia di markas yang sama pada September lalu, akibat pendarahan paru-paru.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS