Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Polis Diraja Malaysia mempercepatkan siasatan terhadap 12 projek pembangunan kompleks dan kuarters polis bernilai RM500 juta yang terbengkalai.

"Saya hendak pihak polis bertindak dengan cepat supaya projek-projek ini dapat diteruskan pembinaannya," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kualiti Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Abdullah, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, tindakan undang-undang mesti dikenakan terhadap mana-mana kontraktor yang gagal menyiapkan projek itu mengikut spesifikasi.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa polis sedang menyiasat 11 syarikat pembinaan yang memberhenti atau melengah-lengahkan pelaksanaan 12 projek pembangunan perumahan polis itu bernilai RM500 juta sehingga menyebabkannya terbengkalai.

Menurut Bernama, Pengarah Logistik Polis Diraja Malaysia Datuk Shahrudin Samsudin dipetik oleh akhbar itu sebagai berkata bahawa tujuan siasatan polis adalah untuk memastikan tiada unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek itu.

Sambil melahirkan rasa kesalnya kerana banyak projek kerajaan terbengkalai sebelum ini disebabkan kurang pemantauan yang ketat, Abdullah mempersoalkan bagaimana projek pembangunan kuarters polis itu boleh terbengkalai jika kontraktor terbabit mengikuti sepenuhnya syarat tender projek pada harga yang telah ditetapkan.

"Kerana kita dok biar begitu sahaja, maka nanti akan berlaku lagi projek-projek terbengkalai," katanya.

Perdana Menteri berkata, kontraktor bagi projek kuarters polis itu perlu bertanggungjawab penuh terhadap kesulitan yang bakal dialami pihak polis kerana kemudahan perumahan yang sepatutnya mereka terima, tidak dapat dipenuhi seperti yang dirancangkan.

Beliau berkata siasatan oleh polis perlu dilakukan dengan segera kerana sebarang kelewatan menyiapkan projek itu akan menyebabkan kerajaan menanggung beban kos yang lebih tinggi.