Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asyraf Wajdi pertahan hantar anak ke SJK Cina
Diterbitkan:  Jul 12, 2018 10:19 PM
Dikemaskini: 2:24 PM

Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mempertahankan tindakan menghantar anaknya belajar ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) walaupun beliau mempunyai pendirian berbeza dalam isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

"Memilih SJKC untuk anak sendiri membuktikan saya bukan seorang yang rasis perkauman.

"Hasrat saya untuk mendedahkan anak saya agar mampu bergaul mesra dengan pelajar berbangsa Cina di SJKC yang masih berpaksikan Sistem Pendidikan Kebangsaan.

"Saya juga mengharapkan anak saya dapat melalui hari-hari persekolahan yang menggembirakan bersama rakan-rakannya dari pelbagai kaum dengan menerapkan perasaan saling memahami, menghormati, menyayangi dan bantu membantu antara satu sama lain dalam dirinya," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Menurut Asyraf, SJKC dinaungi tertakhluk kepada Akta Pendidikan Kebangsaan 1996, manakala UEC pula di luar sistem dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dasar Pendidikan Kebangsaan

"SKJC dinaungi oleh Sistem Pendidikan Kebangsaan dan seiring dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang tertakluk kepada Akta Pendidikan Kebangsaan 1996.

"Sebaliknya UEC merupakan peperiksaan yang diambil oleh pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang berada di luar Sistem dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Sijil UEC ini dibahagikan kepada tiga tahap yang mana kesemuanya menggunakan bahasa Mandarin dan sukatan pembelajarannya dicedok daripada Taiwan..." katanya.

Asyraf sekali lagi mengulangi pendiriannya menolak pengiktirafan UEC.

"Mengiktiraf UEC bermakna negara akan mempunyai dua sistem peperiksaan dan penilaian yang akhirnya menggagalkan usaha integrasi nasional dalam membangunkan generasi Bangsa Malaysia yang menyatu di atas nilai, falsafah pendidikan dan bahasa yang sama," katanya.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 8 Julai lalu berkata kerajaan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru mengenai cadangan mengiktiraf sijil itu sebagai antara syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA)

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pula mahu isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selesai sebelum hujung tahun ini.

Pada 2 Julai lalu, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata pengambilan lulusan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri Melaka kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto HARAPAN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Lihat Komen
ADS